RAZI (kanan) sewaktu majlis pelepasan program Unsung Hereos di Gua Musang.
RAZI (kanan) sewaktu majlis pelepasan program Unsung Hereos di Gua Musang.
KUMPULAN sukarelawan puas selepas selesai membersihkan masjid, seterusnya digunakan untuk menunaikan solat Jumaat.
KUMPULAN sukarelawan puas selepas selesai membersihkan masjid, seterusnya digunakan untuk menunaikan solat Jumaat.
Oleh Rahayu Mohd Salleh

Sewaktu diperkenalkan kepada kumpulan Kelab Kembara 4x4 Selangor (SAC) itu, tidak tergerak di hati mahu menyusun langkah ke Kelantan untuk mengikuti misi menghulur bantuan kepada mangsa banjir di sana.

Secara peribadi, misi yang saya ikuti sebelum ini dianggap misi terakhir, namun program besar-besaran dikenali sebagai Unsung Hereos pada pertengahan Februari lalu sekali lagi melorongkan hati untuk bersama kelompok sukarelawan ini cuma kali ini pada skala lebih besar.

Uniknya, sukarelawan ini saban minggu tidak jemu menjenguk lokasi yang dilanda banjir seolah-olah itulah kampung halaman mereka sendiri. Bagi sukarelawan bujang, mungkin tidak sukar mengatur rancangan, namun yang berkeluarga, sanggup pula berjauhan daripada yang tercinta demi memenuhi tuntutan misi.

Menyempurnakan kerja sukarelawan sebegini juga seolah-olah membuatkan kita ketagih. Jika tidak, manakan ada yang sudah berbelas kali mengikuti misi sebegini sejak banjir besar melanda pantai timur penghujung tahun lalu.

Presiden SAC Razi Nawawi bersama kelab kenderaan pacuan empat rodanya itu antara kelompok sukarelawan terawal yang menghulurkan bantuan buat penduduk di kawasan yang dilanda banjir khususnya di Kelantan. Saat itu, merekalah antara saksi kepada pelbagai bentuk kemusnahan juga kepayahan penduduk akibat banjir besar itu lantas hati mana yang tidak terpanggil untuk terus menghulur bantuan tanpa jemu ini.

“Kerja sebegini memang perlukan komitmen juga orang sekeliling khususnya keluarga yang benar-benar memahami. Konsep kami pula mahu memastikan bantuan untuk mangsa banjir itu sampai ke tangan mereka sendiri, justeru kami berusaha untuk ke merata ceruk biarpun terpaksa berhadapan dengan pelbagai ujian.

“Memang ramai yang ingin membantu mangsa banjir ini, tetapi mungkin keadaan mereka tidak mengizinkan. Satu ketika, seorang mak cik yang tahu kerja amal yang saya lakukan bersama rakan, datang menghulurkan air mineral dan telekung. Katanya, itu saja yang dia mampu berikan untuk menyumbang kepada mangsa banjir.

“Hati siapalah yang tak tersentuh. Harapan sebeginilah yang membuatkan kami tidak kisah memandu beribu batu saban minggu, mengorbankan masa untuk keluarga demi menghulurkan bantuan kepada golongan yang sangat memerlukan ini,” katanya.

Pada pertengahan Februari lalu, SAC menggerakkan program dikenali sebagai Unsung Hereos yang diilhamkan oleh penyelaras programnya, Azli Ali yang juga terbabit dalam kerja sukarela membantu mangsa banjir di Kelantan bersama kumpulan rakan sukarelawannya.

Program selama dua hari itu menghimpunkan lebih 100 kenderaan termasuk kira-kira 60 kenderaan pacuan empat roda, 10 lori serta 500 sukarelawan daripada pelbagai kelab khususnya kelab permotoran yang sering menghulur bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan sejak penghujung tahun lalu.

Selain SAC, antara kelab yang terbabit dalam program ini termasuk Kuala Selangor 4x4, Kelab Honda CRV Malaysia, Redah 4x4 Club, Serendah 4x4 Team, Yayasan Salam, Profima, Pradas, TORC 4x4, Satria Neo Club, Team Temasik Rela Membantu, Truckers Brotherhood Forever, Kelab Pemilik MPV Naza Ria Malaysia juga KRT Taman Melati.

Misi ini yang turut mendapat sokongan Institut Jantung Negara (IJN) dibahagikan kepada empat zon yang mengalami kemusnahan paling teruk akibat banjir iaitu Gua Musang, Dabong, Manik Urai dan Kuala Krai.

Sumbangan kelompok besar sukarelawan Unsung Hereos ini pula merangkumi beberapa aspek utama iaitu bantuan perubatan, bantuan barangan keperluan seperti makanan dan peralatan memasak, membaik pulih surau dan masjid serta khidmat kaunseling.

Pasukan perubatan IJN yang menyertai misi kali ini terdiri daripada 20 tenaga termasuk empat pakar jantung, jururawat dan paramedik, kata Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Azhari Rosman.

“Pembabitan kali ini adalah misi kali keempat IJN membantu mangsa banjir dengan membawa bekalan perubatan kami sendiri termasuk mesin ECG sendiri untuk ditempatkan di dua klinik angkat kami di Klinik Kesihatan Dabong, Kuala Krai dan Bertam Baru, Gua Musang,” katanya sewaktu majlis pelepasan kenderaan pacuan empat roda Unsung Hereos di IJN.

Dalam usaha terus menghulurkan sumbangan perubatan kepada golongan memerlukan ini, IJN merancang untuk meneruskan usaha amalnya membantu golongan terbabit dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

Laung azan solat Jumaat

Sukarelawan daripada kelab pacuan empat roda Kuala Selangor 4x4 yang turut menyertai program Unsung Hereos ternyata menyimpan pelbagai kenangan manis selama pembabitan mereka dalam misi bantuan sedemikian.

“Dalam salah satu misi kami pada Januari lalu, kami dimaklumkan sebuah masjid di Pasir Tumboh, Gua Musang perlu dibersihkan. Memang teruk keadaannya kerana bukan saja peralatan musnah, malah ada bahagian masjid yang perlu dibaiki.

“Apa tidaknya, banjir di kawasan itu mencecah menara masjid, malah ketika kami sampai, keadaan memang menyedihkan, malah di bahagian atas siling pula ada lumpur setebal tiga inci,” kata Presiden Kuala Selangor 4x4 Safizan Mohd Rusdi.

Mereka tidak hanya membawa permaidani dan sejadah, malah turut membawa kayu untuk membetulkan bahagian siling selain 152 keping siling asbestos dari ibu kota. Dua hari bertungkus-lumus akhirnya penduduk setempat yang sudah dua kali tidak mampu menunaikan solat Jumaat di masjid terbabit akhirnya tertunai hasrat mereka usai kerja pembersihan oleh sukarelawan ini.

“Memang tidak dapat dibayangkan kepuasannya apabila kami selesai membersihkan masjid, seterusnya digunakan pula untuk menunaikan solat Jumaat.

“Kepuasan melakukan kerja amal sebegini jugalah yang membuatkan kami tidak pernah rasa letih atau jemu memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Timbalan Presidennya Mohd Najib Samat mengakui, program Unsung Hereos itu penyertaan kali kelima

kelab terbabit selepas memulakannya pada akhir Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 9:59 AM