AJIB (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Lanchang,Pahang. FOTO ihsan JAWI
AJIB (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Lanchang,Pahang. FOTO ihsan JAWI
Samadi Ahmad


Putrajaya: Surau Al-Muhajirin Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Yayasan Taqwa, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengadakan Misi Kembara Amal Bantuan Pasca Banjir Pahang bermula semalam dan hari ini.

Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, misi bantuan itu diadakan di Masjid Kampung Kuala Kaung, Lanchang, Pahang dengan kerjasama QSR Brands (M) Holdings Bhd dan Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip).

Menurutnya, misi itu disertai oleh gabungan 55 sukarelawan lelaki dan wanita dari Surau Al-Muhajirin, Kelab Kebajikan, Sukan dan Rekreasi Jawi, Puspanita Jawi dan Pasukan Sukarelawan Banjir Jawi.

Katanya, sepanjang misi ini sukarelawan melaksanakan kerja gotong-royong membersihkan ruang solat dan bilik air, mengecat dan menyediakan keperluan di masjid yang terjejas akibat banjir.

" Sebanyak RM66,915 jumlah sumbangan diperuntukkan dalam program ini antaranya 100 pek barangan keperluan asas makanan JAWI Food Bank, 60 set hygiene kit wanita, barangan keperluan seperti pakaian, pampers bayi, kain pelikat, tilam dan barangan elektrik, 100 set toto, selimut, bantal dan 550 pek KFC.

"Misi Kembara Amal Bantuan Pasca Banjir ini bertujuan menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa yang terjejas akibat banjir termasuk masjid yang menjadi pusat ibadah dan kegiatan ilmu masyarakat melalui bantuan kemanusiaan atas semangat Keluarga Malaysia," katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Program ini turut dihadiri Qadi Pejabat Agama Islam Daerah Temerloh Abdul Aziz Abd Karim dan Ketua Jabatan Syariah dan Pematuhan Halal QSR Brands (M) Holdings Berhad Hayazi Darus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 4:50 PM