Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menafikan artikel portal berita yang mendakwa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak dimaklumkan mengenai insiden di Portal Semantan, semalam.

Menurut Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT Corp, Amir Mahmood Razak berkata, artikel terbabit mendakwa Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat, Azizan Ismail dipetik sebagai berkata, beliau berasa hairan mengapa MRT Corp tidak memaklumkan pihaknya mengenai kejadian.

Katanya, laporan itu juga mendakwa pihak bomba hanya menerima panggilan telefon daripada orang awam untuk memaklumkan kejadian pada 3 petang.

"MRT Corp ingin menafikan kenyataan ini. Pihak kontraktor tapak pembinaan yang terbabit, iaitu Sunway Construction Sdn Bhd ada membuat panggilan kecemasan di talian 999 pada 1.38 tengah hari.

"Rekod telefon menunjukkan jurutera tapak yang bertugas pada waktu itu, Syed Asyraf Syed Yahya membuat panggilan 999 kira-kira 18 minit selepas kejadian berlaku," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Dalam kejadian 1.20 petang semalam, tiga pekerja sedang memasang kerangka besi tetulang di tapak pembinaan Portal Semantan sebelum berlaku runtuhan apabila ikatan di antara besi dan kerangka itu terputus.

Mangsa Rijaul Abdul Goni, 40,mati di tempat kejadian manakala Shanaullah, 37 cedera dan seorang lagi pekerja Rozlu Karim terselamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 3:36 PM