BARCA hanya satu mata di belakang pendahulu La Liga, Real Madrid.
BARCA hanya satu mata di belakang pendahulu La Liga, Real Madrid.
AFP

Madrid

Barcelona boleh merampas tangga teratas La Liga Sepanyol buat kali pertama sejak awal November lalu apabila mereka berusaha melakar kemenangan ke-12 berturut-turut menentang Malaga, malam ini.

Kelab Catalunya itu sudah menjaringkan 42 gol dalam tempoh itu untuk merapatkan jurang kepada satu mata di belakang Real Madrid dan berada di ambang final Piala Raja Sepanyol.

Bagaimanapun, anak buah Luis Enrique bukan saja berusaha menghuni tangga pertama buat sekurang-kurangnya 24 jam sebelum Real Madrid berkunjung ke Elche awal pagi Isnin ini, namun memastikan mereka tidak ditimpa kecederaan menjelang perlawanan Liga Juara-Juara menentang Manchester City, awal pagi Rabu ini.

“Kami sedar banyak tugas menanti hingga hujung musim ini dan ia saat penting buat kami. Kami perlu berada pada tahap 100 peratus,” kata pertahanan Barca, Adriano.

Barca menyingkirkan City 4-1 secara agregat pada peringkat sama pertandingan itu tahun lalu dan Adriano memberi amaran ia akan menjadi pencetus motivasi kelab juara Inggeris itu di sebalik persembahan tidak menentu mereka dalam Liga Perdana.

“Kami akur kami diundi lawan kuat yang mungkin sepatutnya bertemu pada separuh akhir.

“Mereka tidak berada pada prestasi terbaik, tapi perlawanan sebegini tiada pasukan pilihan. Ia juga pasti lebih sukar berbanding tahun lalu kerana mereka jelas mahu membalas dendam.”

Barca tidak lagi dihantui kecederaan dengan Andres Iniesta boleh diturunkan semula selepas terlepas aksi kemenangan 5-0 ke atas Levante minggu lalu kerana demam.

Namun, Enrique dijangka melakukan rombakan selepas merehatkan Gerard Pique, Dani Alves dan Luis Suarez pada perlawanan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:08 AM