Madrid: Bintang serangan Barcelona perlu mendapatkan semula sentuhan jaringan bagi kekal bersaing merebut kejuaraan La Liga apabila kelab Catalunya itu menanti kunjungan Cordoba, malam ini.

Tanpa Neymar yang cedera, Lionel Messi dan Luis Suarez gagal meledak ketika seri 0-0 di Getafe hujung minggu lalu, menyaksikan anak buah Luis Enrique ketinggalan empat mata berbanding pendahulu liga, Real Madrid.

Bagaimanapun, ketika juara Eropah itu bertemu San Lorenzo pada final Piala Kelab Dunia, awal pagi esok, Barca boleh mengurangkan jurang mata kepada satu menjelang tahun baru.

“Menjelang perlawanan menentang Cordoba, amat penting untuk menamatkan tahun ini dengan nota kemenangan dan menceriakan penyokong,” kata pemain tengah Ivan Rakitic.

Barca menutup tirai tahun ini gagal meraih sebarang trofi buat kali pertama dalam tempoh enam tahun, namun di sebalik permulaan tidak menentu era Luis Enrique, Xavi Hernandez (gambar) yakin kemarau itu akan berakhir.

“Motivasi kami tidak berhenti di sini,” jelasnya. “Untuk bermain dengan pasukan terbaik di dunia menyebabkan kami memiliki motivasi sama.

“Kami akan berjuang bagi tiga pertandingan. Pasti sukar namun kami percaya boleh bersaing merebut kejuaraan liga, Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:07 AM