AFP

Madrid: Pendahulu La Liga, Barcelona perlu memecah rentetan tidak kalah 31 perlawanan Sevilla di Sanchez Pizjuan bagi memastikan mereka kekal empat mata berbanding Real Madrid di puncak carta liga.

Barca membenam Almeria awal pagi kelmarin bagi mencatat sembilan kemenangan dalam semua pertandingan namun berdepan ujian getir apabila menentang kelab Andalusia itu hanya tiga hari sebelum aksi suku akhir Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain di laman lawan.

“Kami sedar ia perlawanan yang amat sukar, tapi jika kami menghadapinya dengan personaliti yang kami miliki, ada peluang kerana kami adalah Barca,” ujar penyerang Luis Suarez selepas membolosi gawang Almeria dua kali bagi mengumpul 16 gol musim ini.

Barca sekurang-kurangnya mampu menurunkan semula enam pemain utama termasuk Neymar dan Gerard Pique selepas mereka direhatkan menentang Almeria.

“Jadual April perit. Kami belum boleh memenangi sebarang kejuaraan, tapi boleh terlepasnya jika tidak melakukan perkara yang betul,” kata Pique.

“Kami boleh tersingkir daripada Liga Juara-Juara dan dirampas kedudukan pendahulu liga. Kami perlu berdepan perlawanan satu demi satu dan jika menamatkan April dengan baik bermakna kami layak ke separuh akhir dan masih mengungguli La Liga.”

Sevilla turut menang tujuh perlawanan terakhir semua pertandingan dan terdesak meraih mata ketika mereka bersaing dengan Valencia dan Atletico Madrid memburu tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Hakikatnya kami tidak menjangkakan bermain terlalu bagus pada peringkat ini, kami berkeyakinan tinggi dan mahu terus begini,” kata pemain tengah Daniel Carrico.

Real boleh merapatkan jurang kepada satu mata berbanding Barca sebelum sepak mula di Sanchez Pizjuan apabila mereka melayan kunjungan Eibar di Santiago Bernabeu, malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:27 AM