MESSI (kanan) merai jaringan bersama rakan sepasukan ketika menewaskan Athletic Bilbao. - Foto EPA
MESSI (kanan) merai jaringan bersama rakan sepasukan ketika menewaskan Athletic Bilbao. - Foto EPA

LIONEL Messi mempamerkan satu lagi aksi menakjubkan ketika Barcelona menewaskan Athletic Bilbao 2-0 awal pagi tadi untuk mendahului 11 mata berbanding pencabar terdekatnya Atletico Madrid dalam saingan La Liga.

Selepas menghukum Chelsea dalam Liga Juara-Juara minggu lalu, Messi menjaringkan gol untuk perlawanan keenam berturut-turut menentang Athletic di Camp Nou, melonjakkan Barca hampir dengan kejuaraan domestik.

“Setiap hari dia menemui sesuatu yang baru, sesuatu yang berbeza, dia sedar apa yang perlu dilakukan, apa yang diperlukan pasukan daripadanya setiap ketika,” kata jurulatih Barca Erneste Valverde mengenai Messi, penjaring terbanyak liga Sepanyol itu musim ini dengan 25 gol.

“Selalunya jurulatih yang perlu mengajar pemain tetapi apa yang dilakukan jurulatih adalah belajar bersama mereka. Kami harap dapat terus belajar bersama.”

Enggan ketinggalan dengan pencabar utamanya, Cristiano Ronaldo kemudiannya meledak empat gol ketika Real Madrid membenam Girona 6-3 untuk naik ke tangga ketiga biarpun masih ketinggalan 15 mata berbanding Barcelona.

Barca yang mendominasi seawal permainan, membuka jaringan pada minit kelapan apabila Messi melorongkan bola ke sebelah kiri kepada Jordi Alba yang segera melakukan hantaran kepada Paco Alcacer yang menggantikan Luis Suarez akibat penggantungan untuk penyudah tepat ke gawang. 

Pasukan tuan rumah terus memberi ancaman dan Philippe Coutinho gagal menyempurnakan gol kedua apabila percubaannya menggegar palang, sementara Ousmane Dembele gagal memanfaatkan peluang untuk menumpaskan penjaga gol lawan Kepa Arrizabalaga.

Namun penjaga gol Athletic itu gagal menyekat rembatan rendah daripada Messi selepas 30 minit perlawanan, apabila pemain Argentina itu berjaya mengawal bola hantaran Dembele sebelum melakukan penyudah.

Coutinho, pemain termahal kelab itu sekali lagi menggegar palang apabila cuba mengatasi Kepa sebaik menyambut bola tinggi daripada Paulinho, yang percubannya tidak lama kemudian turut terkena palang.

Barca melebarkan rekod tanpa kalah di La Liga kepada 36 perlawanan yang bermula sejak musim lalu, kurang dua daripada rekod dicatat Real Sociedad dari 1979 hingga 1980.

“Saya teringin memecahkan rekod itu tetapi mengapa perlu bercakap mengenainya jika kami boleh kalah, menang atau seri,” kata Valverde.

“Kami tidak akan mencabar takdir. Perlawanan berikutnya di Seville pastinya mencabar.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Mac 2018 @ 10:16 AM