ERINA tidak sangka anaknya mendapat jangkitan bakteria pneumokokus.
ERINA tidak sangka anaknya mendapat jangkitan bakteria pneumokokus.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


“Tiada lagi cara untuk mengembalikan Aqil ke pangkuan saya kerana dia sudah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” jelas ibu Aqil Hamzah, Erina Asmawani.

Mengimbau kembali kisah memilukan yang berlaku pada 2013 lalu, Erina tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir laju apabila mengenangkan nasib anak sulungnya itu.

Ujarnya, tanpa disangka demam panas yang menyerang Aqil boleh menyebabkan kematian pada si kecil kesayangannya. Kerana terlalu sayang, anak sulungnya itu ‘dikuarantin’ tidak dihantar ke pusat jagaan harian atau dibawa ke tempat yang ramai orang. Memang, Aqil ditatang bagai minyak yang penuh.

Erina dan suaminya, Amir Fozy begitu cerewet serta teliti terhadap sebarang perkara yang membabitkan Aqil. Erina sanggup berhenti kerja selepas melahirkan Aqil bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap tumbesaran anak lelakinya itu.

“Ketika usia anak saya setahun dua bulan, dia diserang demam panas dan selesama. Ketika dibawa berjumpa doktor, dia disahkan mengalami demam biasa.

“Namun, selepas dua hari berlalu, demam Aqil masih belum kebah. Pada masa sama, Aqil semakin lemah dan saya membuat keputusan untuk membawanya ke hospital.

“Selepas melakukan ujian sinar-X, doktor mendapati paru-paru sebelah kanan anak saya terkena jangkitan dan ia bukan masalah

biasa. Akhirnya, Aqil dirujuk kepada pakar kanak-kanak,” katanya dengan wajah sugul. Meskipun sudah agak lama peristiwa berlalu, tetapi hati Erina tetap pedih apabila bercerita mengenai arwah anak sulungnya itu.

Semuanya berlaku dengan pantas. Pakar kanak-kanak yang ditemuinya mendapati sel darah putih Aqil meningkat. Hati ibu mana tidak sayu apabila melihat anaknya semakin lemah berbanding dua atau tiga hari sebelum itu yang ceria dan aktif.

Satu demi satu keputusan diterima memeranjatkan Erina dan suaminya. Kali ini doktor mengesahkan anaknya berubah lemah disebabkan jangkitan bakteria pneumokokus (penyakit pneumokokus atau pneumokokal, PnD).

Pada mulanya, Aqil ditempatkan di wad biasa. Namun, selepas lima hari berlalu, hati, limpa dan buah pinggangnya rosak kerana dijangkiti bakteria berkenaan dan memaksa Aqil dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

“Pada Mei, 2013, iaitu hari keenam selepas Aqil mendapat demam panas, dia disahkan meninggal dunia. Walaupun saya memberikan perlindungan dan penjagaan yang terbaik, tetapi anak saya tetap mendapat penyakit ini. Mungkin ia disebabkan saya kurang maklumat mengenai bahaya bakteria pneumokokus.

“Memang sebelum ini saya pernah terbaca mengenai penyakit yang disebabkan bakteria ini, namun tidak menganggap ia perkara serius. Saya beranggapan ia tidak akan berlaku pada anak saya.

“Saya menganggap ia tidak penting apatah lagi memikirkan pengambilan vaksin untuk pneumokokus adalah satu pilihan. Malah, saya juga diberitahu suntikan vaksin kebangsaan sudah memadai, walaupun saya melihat anak adik saya diberikan suntikan vaksin pneumokokus.

“Kini, saya sedar kita tidak boleh pandang ringan isu kesihatan kanak-kanak. Walaupun anak anda sentiasa berada dalam jagaan rapi dan tertutup, tetapi dia tetap berisiko mendapat jangkitan seperti yang berlaku pada Aqil,” katanya.

Bagi membantu menyebarkan maklumat mengenai bahaya penyakit itu, Erina bergerak secara aktif menyertai kempen Yes to Pneumococcal Prevention untuk menyokong Vaksin Konjugat Pneumokokus (PCV) dimasukkan ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Tidak jemu berusaha

Berapa ramai ibu bapa yang tahu mengenai bahaya penyakit PnD, bagaimana ia boleh menyerang kanak-kanak berusia bawah lima tahun dan kesan ke atas kesihatan si kecil?

Mungkin ada yang memberi jawapan, Ya, saya tahu. Namun, adakah kita mengambil sebarang langkah pencegahan bagi membantu mengurangkan risiko anak mendapat peyakit ini?

Adakah kita akan berdiam diri dan membiarkan maklumat berkenaan berlalu pergi tanpa sebarang tindakan sewajarnya. Apatah lagi, apabila kita perlu mengeluarkan kos yang besar untuk mendapatkan vaksin berkenaan.

Benar, negara kita mempunyai program imunisasi kebangsaan. Namun, ia masih belum lengkap kerana perlindungan terhadap beberapa penyakit lazim dalam kalangan kanak-kanak belum disenaraikan dalam program berkenaan seperti rangkaian penyakit yang boleh disebabkan oleh bakteria pneumokokal.

Perkara ini harus dipandang serius kerana menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setiap tahun PnD meragut nyawa kira-kira 700,000 hingga sejuta kanak-kanak di negara membangun yang berusia bawah lima tahun.

“Belum ramai yang sedar dan faham mengenai bahaya penyakit ini sekali gus membiarkan anak mereka terus berhadapan dengan risiko tanpa dilindungi suntikan vaksin.

“Selama 10 tahun kami berusaha dan menggesa pihak berkenaan menyenaraikan vaksin PCV ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan, namun hingga kini masih hampa,” jelas Pengasas Parenting2u@ MyHealth Outreach, Chan Li Jin.

Pada masa sama, usaha berkenaan tidak akan berhasil tanpa bantuan daripada doktor kerana mereka sanggup meluangkan masa untuk memberi penerangan kepada ibu bapa mengenai PnD dan vaksin PCV.

Walaupun perjalanan yang dilalui begitu panjang dan mengambil tempoh lama untuk memastikan kejayaan misi kempen Yes to Pneumococcal Prevention, Li Jin tidak akan berhenti sehinggalah semua kanak-kanak di negara ini dilindungi daripada rangkaian penyakit PnD.

Kempen Yes to Pneumococcal Prevention berjaya mengumpul 20,000 ikrar sokongan bagi mewakili suara ibu bapa di negara ini agar pihak berkaitan menyenaraikan PCV ke dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan.

Pencegahan melalui vaksin

Walaupun bakteria pneumokokal turut menjangkiti orang dewasa, kesannya lebih ketara pada kanak-kanak kecil. Sehingga kini, dianggarkan 1.6 juta orang meninggal dunia setiap tahun akibat jangkitan pneumokokal. Daripada jumlah itu, 700,000 hingga satu juta mangsa adalah kanak-kanak berumur kurang lima tahun.

Bakteria pneumokokal mudah merebak melalui batuk dan bersin, kemudiannya menjangkiti saluran pernafasan kanak-kanak lain. Seterusnya ia akan memasuki salur darah, merebak ke seluruh

badan dan menyebabkan pelbagai masalah kesihatan terutama pada kanak-kanak di bawah dua tahun kerana badan mereka belum mempunyai antibodi untuk melawan jangkitan pneumokokal.

Menurut pakar perunding kanak-kanak, Dr Yong Junina Fadzil, walaupun PnD menyebabkan kematian, ia masih boleh dicegah melalui pengambilan vaksin.

“Penyakit pneumokokal sangat kompleks, ia boleh menyebabkan keracunan darah, jangkitan otak dan paru-paru serta kehilangan pendengaran, namun yang paling ditakuti ia boleh membawa kepada kematian.

“Terdapat beberapa pecahan penyakit PnD membimbangkan pakar perubatan. Misalnya, bakteremia (jangkitan bakteria dalam darah), meningitis (jangkitan selaput saraf tunjang atau otak), pneumonia (jangkitan paru-paru) dan otitis media (jangkitan telinga tengah),” katanya.

Paling teruk pesakit boleh mendapat penyakit meningitis. Ia menyebabkan pesakit demam, sakit kepala yang teruk, mual, muntah, leher menjadi tegang dan fotofobia (cuba mengelak melihat cahaya) dalam kalangan kanak-kanak lebih besar. Bayi dan kanak-kanak kecil pula biasanya mengalami demam dan beberapa gejala tidak khusus, tetapi kerap.

Ujarnya, suntikan vaksin perlu diberikan untuk melindungi kanak-kanak daripada mendapat jangkitan kerana 60 peratus kemasukan ke hospital dan 40 peratus kematian berlaku pada kanak-kanak di bawah usia 10 tahun.

“Jangan terpengaruh dengan perbincangan di media sosial kerana semua orang boleh memberi pendapat. Dapatkan maklumat sahih dengan bertanya kepada pakar kanak-kanak mengenai penyakit ini dan keperluan mendapatkan vaksin kerana saya akui memang ada segelintir ibu bapa yang menolak idea memberikan pelalian atau vaksin pada anak mereka,” kata Dr Yong Junina lagi.

Pengerusi Pakatan Strategik Asia bagi Pencegahan Penyakit Pneumokokal (ASAP), Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, ramai ibu bapa yang bertanya mengenai kebaikan vaksin berkenaan.

“Namun, ada sesetengah ibu bapa kurang mengambil perhatian mengenai kebaikannya, sekali gus menganggap ia tidak penting untuk kesihatan diri si kecil.

“Walaupun anak tidak dihantar ke pusat penjagaan kanak-kanak mahupun terdedah dengan aktiviti luar, mereka juga boleh terkena jangkitan bakteria berkenaan.

“Perlu diingat, pencegahan melalui vaksin boleh membantu mengurangkan kos rawatan yang perlu ditanggung ibu bapa berbanding selepas mendapat penyakit PnD,” katanya.

Ujarnya, vaksin ini dicadangkan untuk bayi dan kanak-kanak kecil iaitu daripada umur dua bulan hingga lima tahun. Dos yang diperlukan bergantung kepada umur seseorang kanak-kanak ketika suntikan vaksin diberikan.

Kanak-kanak perlu vaksin pneumokokus

Menyedari bahaya penyakit pneumokokal yang lazimnya membawa kepada masalah kehilangan upaya dan kematian, pelbagai usaha dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai penyakit berkenaan.

Antaranya, kempen YES to PnD Protection dalam usaha memasukkan vaksin terhadap penyakit ini ke dalam program imunisasi kebangsaan.

Kempen berkenaan adalah inisiatif bersama Parenting2u, Pakatan Strategik Pencegahan Penyakit Pneumokokal Asia (ASAP), Persatuan Pediatrik Malaysian (MPA) dan Confederation of Meningitis Organisations (CoMo).

Pengasas Parenting2u.com @ Myhealth Outreach, Chan Li Jin berkata, dia sangat terkejut apabila kali pertama mendengar mengenai bahaya penyakit berkenaan pada 2005.

“Itu pun diketahui selepas mendengar luahan kesedihan ibu bapa yang kehilangan anak akibat penyakit ini. Lebih menyedihkan dalam tempoh 10 hari daripada jangkitan itu, anak mereka meninggal dunia.

“Selepas beberapa tahun, saya mendengar keluhan dan kisah sedih yang sama hingga membuatkan saya mengadakan sesi perbincangan bersama sekumpulan ibu bapa,” katanya.

Sejak itu, Li Jin giat menyebarkan maklumat mengenai penyakit pneumokokal dengan mengumpul 20,000 ikrar sokongan dan menguruskan dana vaksin di kawasan penduduk kurang berkemampuan.

Seramai 100 pakar pediatrik dan pengamal perubatan am (GP) dari seluruh Malaysia dijemput menyertai kempen berkenaan dengan menjanjikan masa dan khidmat mereka untuk memperjuangkan usaha ini.

Setiap doktor akan membincangkan mengenai kepentingan vaksin pneumokokus kepada ibu bapa yang mengunjungi klinik mereka. Pada masa sama, ia bertujuan mengubah pemikiran ibu bapa mengenai vaksin berkenaan dengan menyebarkan lebih banyak maklumat berguna kepada mereka.

Inisiatif itu berupaya menyediakan saluran untuk doktor menyebar maklumat dan membabitkan penyertaan ibu bapa di samping meningkatkan kesedaran terhadap penyakit pneumokokal.

Pada sama ia juga memperkasakan ibu bapa supaya mengambil tindakan untuk melindungi anak mereka daripada penyakit berkenaan melalui pengambilan vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 1:11 PM