Muhammad Firdaus meninggal dunia petang tadi. FOTO arkib NSTP
Muhammad Firdaus meninggal dunia petang tadi. FOTO arkib NSTP
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Remaja orang kurang upaya (OKU), Muhammad Firdaus Dullah, 16, yang kisahnya pernah menggemparkan negara apabila ditemui dalam keadaan menyedihkan, selain kurus kering akibat kekurangan zat di rumahnya di Nilai, tahun lalu, meninggal dunia di Hospital Tuanku Jaafar Seremban(HTJS), petang tadi selepas diserang sawan.

Pengarah HTJS Dr Ariffin Mohamad berkata, Muhammad Firdaus diserang sawan ketika makan tengah hari di rumah kebajikan Taman Sinar Harapan Tunku Ampuan Najihah, di sini, sebelum pihak terbabit menghubungi HTJS untuk memberi rawatan pada jam 12.22 tengah hari tadi.

Katanya, remaja terbabit dibawa ambulans ke HTJS dan dimasukkan ke zon merah namun disahkan meninggal dunia pada 1.15 petang.

“Jenazah Muhammad Firdaus dibawa ke Jabatan Forensik untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita, dan Keluarga negeri Datuk Norhayati Omar yang ditemui ketika menziarahi jenazah Muhammad Firdaus memberitahu, proses bedah siasat itu akan dilakukan esok dan kos pengurusan jenazah serta pengebumian akan ditanggung kerajaan negeri.

Kisah Muhammad Firdaus sebelum ini mendapat simpati masyarakat apabila dia ditemui dalam keadaan kurus kering dan memakai baju lusuh yang sudah reput.

Terdapat najis pada kepala, baju serta anggota badannya yang ditinggalkan di dalam bilik yang kotor dan busuk.

Dia ditemui anggota Jabatan Imigresen negeri yang membuat pemeriksaan di rumah berkenaan pada 2.30 pagi, 21 Jun tahun lalu.

Ibunya, Lolanopita Sadi, 40, pada 5 November tahun lalu mengaku bersalah terhadap dua tuduhan iaitu mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan Muhammad Firdaus dan Seksyen 33(c) akta sama kerana meninggalkan anaknya itu tanpa pengawasan sewajarnya.

Pada 17 November tahun lalu, Lola dihukum masing-masing penjara empat bulan dan denda RM6,000 serta penjara tiga bulan dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban, bagi dua pertuduhan pertuduhan itu.

Kedua-dua hukuman itu diperintahkan dilaksanakan serentak, bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara selama empat bulan.

Muhammad Firdaus ditempatkan di Taman Sinar Harapan Tengku Ampuan Najihah, Seremban dan semakin pulih, terurus serta ceria.

Lola diberi kebenaran datang menjenguk anaknya itu dua kali sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 4:15 PM