Nilai: “Sebelum ini anak saya pernah dua kali cuba mencederakan diri, tetapi berjaya diselamatkan ahli keluarga.

“Tidak disangka tindakannya kali ini meragut nyawa,” kata seorang lelaki, mahu dikenali sebagai Meng, 60-an yang kematian anak lelakinya yang dipercayai mengelar dirinya, semalam.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa, Tan Yun Hoi, 38, yang juga pesakit mental mengelar tangan dan lehernya di sebuah rumah di taman perumahan di Mantin, di sini.

Meng berkata, sebelum kejadian, dia yang tinggal berhampiran rumah Yun Hoi mahu menjenguk anaknya kerana mahu memastikannya memakan ubat.

Katanya, anaknya yang sudah 10 tahun menghidap penyakit mental ditempatkan di rumah itu dan setiap hari dia atau ahli keluarga akan menjenguk Yun Hoi.

Menurutnya, sejurus tiba di rumah terbabit, dia dikejutkan terdapat percikan darah di bahagian halaman sebelum mengesan darah sehingga ke bahagian belakang kediaman.

“Sejurus tiba di belakang rumah berhampiran dapur, saya mendapati Yun Hoi sudah tidak bernyawa.

“Pemeriksaan mendapati ada kesan kelar di lengan dan lehernya,” katanya.

Meng berkata, sebelum ini Yun Hoi pernah dua kali mahu mencederakan diri tetapi bernasib baik apabila dia dan ahli keluarga yang tiba di rumah menyelamatkannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdullah Roning yang dihubungi mengesahkan kes berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima laporan kejadian daripada Meng kira-kira jam 11 pagi dan anggota polis yang tiba di lokasi membawa mayat ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

Menurutnya, buat masa ini, polis menunggu laporan hospital bagi mengesahkan sama ada mangsa mati mengejut atau membunuh diri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2015 @ 5:26 AM