ANGGOTA bomba mengangkat mayat reput yang ditemui di Sungai Perak. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengangkat mayat reput yang ditemui di Sungai Perak. FOTO ihsan bomba
Noor Hidayah Tanzizi


MAYAT wanita sudah reput ditemui di Sungai Perak berhampiran pam pasir Kampung Baru dekat Bota Kanan, Bota, hari ini.

Penemuan mayat tanpa identiti itu dimaklumkan seorang lelaki yang berada di kawasan berhampiran pada 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pihaknya mendapatkan bantuan daripada pasukan bomba untuk mengambil mayat berkenaan yang tersangkut pada tali rumah pam.

Menurutnya, mayat itu dibawa naik pada 11.15 pagi dan pemeriksaan mendapati pergelangan tangannya sudah terputus dari badan.

"Dianggarkan mayat itu adalah wanita warga emas berdasarkan kulit pada tangan dan bentuk badannya yang masih sempurna.

"Mayat dipercayai sudah kira-kira seminggu dalam air berdasarkan keadaan tubuhnya namun tiada unsur jenayah dan tiada sebarang kecederaan fizikal ditemui," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang namun bedah siasat yang dijalankan tidak dapat mengenal pasti punca kematiannya disebabkan mayat terlalu reput.

"Sampel tulang sudah diambil untuk tindakan lanjut dan punca kematian wanita itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu siasatan forensik dan analisa sampel tulang," katanya.

Barudin berkata, berdasarkan semakan polis mendapati terdapat seorang wanita yang dikenali sebagai Siah Junus, 90, dilaporkan hilang pada 29 Julai lalu.

"Wanita warga emas itu masih belum ditemui hingga kini dan anak saudaranya sudah dipanggil untuk pengecaman namun gagal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 7:14 PM