Alif Syukri meluahkan perasaan kecewa kerana beliau sangat minat dalam bidang nyanyian tapi di kritik netizen anggap suara beliau tidak sedap didengar dan merosakkan industri seni nyanyian pada sidang media di Kota Damansara. FOTO OWEE AH CHUN.
Alif Syukri meluahkan perasaan kecewa kerana beliau sangat minat dalam bidang nyanyian tapi di kritik netizen anggap suara beliau tidak sedap didengar dan merosakkan industri seni nyanyian pada sidang media di Kota Damansara. FOTO OWEE AH CHUN.
Norhayati Nordin


Petaling Jaya: Walaupun dikecam tidak boleh menyanyi dan didakwa sebagai perosak industri hiburan tanah air oleh netizen, Datuk Seri Aliff Syukri, 35, mengimpikan untuk berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza pula.

Aliff atau nama sebenarnya Aliff Syukri Kamarzaman yang mendakwa dirinya penyanyi nombor satu Malaysia kerana sentiasa 'trending' di YouTube berkata, Siti adalah penyanyi wanita yang amat diminatinya.

"Saya berharap dapat berduet dengan Siti Nurhaliza. Kalau beliau (Siti Nurhaliza) lihat video ini, mungkin impian saya akan tercapai. Bagi saya, tak ada lagu saya yang tak 'trending' walaupun saya juga tak dapat sebarang anugerah," katanya.

Dalam masa sama, Aliff juga teringin berduet dengan Datuk Awie walaupun penyanyi Wings itu turut 'menghentam'nya dalam satu temubual, baru-baru ini.

"Saya minat lagu dia sebab dulu saya suka 'feeling' macam Ziana Zain," katanya yang turut menyimpan impian berduet dengan Datuk Jamal Abdillah dan Anuar Zain.

Aliff berkata, walaupun orang mengata, kecam, maki dan mencaci dirinya, tetapi lagu 'trending' di YouTube diperoleh itu asli kerana dia tidak membayar walau 10 sen pun kepada YouTube kerana jumlah tontonan di platform digital itu tak boleh dibeli.

"Saya berdiri 'stand alone' walaupun banyak selebriti keluarkan lagu, macam-macam cerita keluar, saya nombor satu. Ini membuktikan suara saya ada 'value', walaupun ada orang kata suara saya macam itik, suara macam lembu.

"Namun, Alhamdulillah, terima kasih kepada semua peminat saya yang setia bersama saya daripada satu lagu sampai 10 lagu dan saya juga ada dapat 'offer' untuk buat persembahan," katanya mengakui suara kurang sedap ketika menyanyi 'live'.

Aliff berkata, dengan tawaran persembahan diperoleh itu, dia semakin percaya bahawa dirinya mempunyai aura seorang artis walaupun tindakan menghasilkan single setiap tahun sekadar memenuhi minatnya untuk menjadi penyanyi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 10:08 AM