Zaidatul ditipu pelakon wanita
Zaidatul ditipu pelakon wanita
Mazizul Dani


Kuala Lumpur: "Saya dah macam pengemis, peminta sedekah, menagih duit saya selama dua tahun ini.

"Saya cuma mahu duit saya, saya dah serik nak terlibat dengan pelaburan dengan syarikat penerbitan dia dan menyesal sebab percaya dengan dia."

Itu luahan ahli perniagaan, Zaidatul Azni Mohd Kasim, 46, yang mendakwa ditipu pelakon wanita yang juga penerbit drama sebanyak RM141,000.

Dia berkata, pelakon wanita itu meyakinkan dia untuk melabur dalam sebuah telemovie pada Mei 2014 dan dia bersetuju kerana sudah saling mengenali sejak 1990-an.

"Kami berbincang mengenai perkara itu di pejabatnya di Ampang dan dia meminta saya memasukkan wang ke dalam akaun syarikat beberapa hari sebelum penggambaran.

"Pada 20 Mei 2014, saya masukkan RM85,000, kemudian dia minta saya wang lagi kerana katanya tidak mencukupi untuk penggambaran itu sebanyak RM40,000 diikuti RM16,000 dalam tempoh beberapa hari.

"Dia menjanjikan keuntungan pelaburan saya itu boleh diperoleh sebaik saja penggambaran selesai. Saya hanya menerima RM9,000 pada Mac tahun lalu, itupun selepas hampir setahun pelaburan dibuat," katanya ketika ditemui petang tadi.

Menurutnya, apabila ditanyakan mengenai wang modal RM141,000, pelakon wanita itu berdolak-dalih dan enggan memberikan kerjasama sehingga dia terpaksa mengambil tindakan undang-undang.

"Saya buat laporan polis pada 26 Oktober tahun lalu sebelum melantik peguam selepas tidak berpuas hati dengan alasan yang diberikan pelakon itu termasuk kononnya tidak mendapat bayaran daripada syarikat penyiaran.

"Bagaimanapun, selepas saya periksa, dia sudah menerima bayaran penuh untuk telemovie terbabit yang disiarkan pada November 2014 tetapi memberi 1001 alasan apabila diminta untuk memulangkan duit saya," katanya.

Zaidatul Azni berkata, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sudah mengarahkan pelakon wanita itu untuk membayar kepadanya, namun writ saman kes berkenaan masih gagal diserahkan disebabkan pelakon wanita itu dikatakan enggan membuka pintu pejabat mahupun rumah.

"Saya tak sangka jadi macam ini dan takut dah nak laburkan wang dengan dia. Macam-macam janji manis yang dia berikan sebelum dapat wang saya dulu.

"Tetapi selepas saya buat tindakan undang-undang, dia terus putuskan komunikasi dengan saya, tak jawab panggilan dan mesej, termasuk sekat saya di laman Facebook (FB)," katanya yang juga memelihara empat anak angkat.

Onar yang dibuat pelakon wanita itu menyebabkan hidupnya makin sengsara kerana perlu membayar ansuran pinjaman peribadi yang dibuat untuk pelaburan itu.

Dia juga terpaksa membayar kepada bank menggunakan wang simpanan yang semakin susut untuk menebus kembali barangan kemas yang digadai untuk tujuan itu.

"Saya tak kisah dah dengan wang keuntungan ke apa, yang penting saya dapat kembali wang modal saya sebanyak RM141,000 itu memandangkan banyak perbelanjaan yang saya perlu tanggung terutamanya empat anak angkat saya ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2016 @ 9:31 PM