Oleh Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail menolak dakwaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersikap tidak adil kepada pemain Harimau Muda A apabila membuat pindaan mewajibkan pemain yang tamat kontrak perlu beraksi sekurang-kurangnya semusim dengan pasukan negeri asal.

Keputusan terbaru badan induk bola sepak tanah air itu seperti menidakkan hak pemain menentukan hala tuju karier mereka sendiri, namun Izham berpendapat FAM juga perlu menjaga kepentingan negeri pasukan asal pemain itu.

“Memang bagus untuk kita melindungi hak persatuan negeri yang membangunkan pemain itu bukan seperti undang-undang sebelum ini.

“Pemain perlu ikut undang-undang dan tidak timbul soal kurang adil kerana jika sah pemain itu milik pasukan asal selepas tamat kontrak dengan Harimau Muda, dia perlu kembali.

“Memang benar pemain ada hak untuk pergi ke mana-mana (pasukan lain), tapi bergantung kepada perbincangan dengan kelab,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Kontroversi perpindahan pemain Harimau Muda A kerap berulang apabila ada pemain yang habis kontrak tidak mahu kembali ke pasukan negeri kelahiran hingga mencetuskan perebutan antara beberapa pasukan.

Antara kes yang mendapat perhatian adalah Gary Steven Robbat yang tidak mahu pulang ke Kedah untuk bersama Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Mohd Affize Faisal Mamat dari Terengganu ke Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Ferris Danial dari Kelantan ke FELDA United dan D Sarvindran dari Selangor ke Pahang.

Bagi mengelak masalah berulang, Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah mengesahkan sudah membuat pindaan ke atas peraturan perpindahan pemain Harimau Muda dalam kontrak yang mereka tandatangani bersama FAM.

Definisi pasukan asal kali ini lebih jelas apabila pemain yang tamat kontrak perlu kembali ke negeri pasukan asal sebelum menyertai Harimau Muda dan bukan lagi negeri kelahiran.

“Kalau dapat dipastikan pasukan asal iaitu negeri yang bertanggung jawab membangunkan pemain itu sudah pasti tiada masalah, namun kelab itu perlu bersedia mengikat pemain itu dengan baik serta gaji yang setimpal,” kata Izham.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:25 AM