Kelana Jaya: Selepas pelbagai kontroversi timbul angkara perebutan pemain Harimau Muda A, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini mewajibkan semua pemain pasukan itu beraksi semusim dengan pasukan negeri asal sebelum dibenarkan berpindah ke pasukan lain.

Perkara ini dijelaskan Timbalan Presiden Datuk Seri Afandi Hamzah selepas Jawatankuasa Undang-Undang FAM melakukan beberapa pindaan peraturan perpindahan pemain Harimau Muda berkuat kuasa tahun ini.

“Sebelum ini sudah ada, cuma kali ini pindaan dilakukan bagi menjelaskan lagi peraturan iaitu pemain Harimau Muda A perlu balik ke negeri dan beraksi sekurang-kurangnya satu musim. Pasukan negeri pula perlu ada pertimbangan menawarkan gaji kepada mereka.

“Pemain perlu beraksi minimum semusim dan selepas itu mereka boleh putuskan sendiri. Jika berlaku sebarang pertikaian, kes itu akan dirujuk ke Jawatankuasa Status FAM,” katanya selepas Mesyuarat Exco FAM semalam.

Beberapa masalah timbul membabitkan perpindahan pemain Harimau Muda A sebelum ini antaranya Gary Steven Robbat (gambar kecil), Affize Faisal Mamat, Mohd Ferris Danial dan D Sarvindran membabitkan perebutan hak negeri kelahiran dan pasukan lain.

Jika sebelum ini FAM akan merujuk kepada negeri kelahiran pemain, namun kali ini pasukan negeri terakhir diwakili pemain itu sebelum menyertai Harimau Muda A akan mempunyai hak.

“Dalam kontrak pemain Harimau Muda A ada satu lampiran menyatakan apabila pemain tamat perkhidmatan, mereka perlu balik ke negeri masing-masing. Kita akan ambil pendekatan pasukan terakhir mereka sebelum menyertai Harimau Muda.

“Jika pemain Harimau Muda dari (SSBJ) Sekolah Sukan Bukit Jalil, kami akan mengambil kira pasukan mereka sebelum menyertai SSBJ. Namun jika negeri asal mereka pula menolak, barulah dia boleh membuat keputusan untuk memilih pasukan lain,” kata Afandi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 8:39 AM