Kuala Lumpur: “Kalau balik tapi tiada peluang bermain tak guna juga, lebih baik pemain diberi hak untuk menentukan pasukan masing-masing”.

Itu pendapat disuarakan pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Mohd Affize Faisal Mamat mengenai peraturan baru Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mewajibkan pemain yang tamat kontrak dengan Harimau Muda A pulang ke pasukan negeri asal.

Bekas pemain Harimau Muda A itu berkata, pemain mencecah usia 22 dan 23 tahun sudah cukup matang untuk berunding dengan mana-mana pasukan yang boleh memberikan peluang mengembangkan karier lebih tinggi serta jaminan pendapatan lebih baik.

“Kalau ikut kes saya, jika balik ke Terengganu, saya tidak ada peluang untuk bermain, jadi lebih baik pemain diberikan hak membuat keputusan sama ada nak balik cuba nasib selama setahun atau menyertai pasukan lain.

“Masa saya dulu, selepas tamat sekolah memang ada menandatangani kontrak dengan Terengganu dan kerana itu mereka mahu khidmat saya. Tapi kalau pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil, mereka tidak mempunyai sebarang kontrak jadi sepatutnya boleh buat pilihan sendiri,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Affize, 25, pernah dilanda kontroversi apabila enggan menyertai negeri kelahiran Terengganu untuk bersama ATM namun kesnya berjaya diselesaikan secara persetujuan bersama dengan ATM membayar pampasan.

Selain pemain tengah itu, beberapa pemain lain juga turut terbabit dengan isu perebutan pemain Harimau Muda A seperti Gary Steven Robbat, Mohd Ferris Danial dan D Saarvindran.

FAM baru-baru ini mengumumkan sudah melakukan pindaan dengan mewajibkan pemain yang tamat kontrak dengan pasukan itu kembali menyertai pasukan negeri asal iaitu pasukan dari negeri terakhir mereka beraksi sebelum menyertai Harimau Muda dan bukannya negeri kelahiran.

Dalam laporan Arena Metro semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail bersetuju dengan peraturan baru itu yang dianggap tidak menindas pemain serta melindungi kepentingan pasukan negeri.

Sementara itu seorang pemain Harimau Muda yang enggan namanya disiarkan berkata, peraturan itu tidak adil kerana hak pemain untuk menentukan perjalanan karier mereka dinafikan begitu saja.

“Bukan tak nak balik ke negeri asal, cuma mungkin mendapat tawaran lebih bagus. Untuk menjadi pemain lebih baik kena bersama pasukan hebat. Bukan nak memperlekehkan cuma mungkin pasukan lain menyertai lebih banyak kejohanan untuk pemain menimba pengalaman.

“Bagaimana jika pemain yang tidak pernah berkhidmat dengan pasukan Piala Presiden negeri tapi tiba-tiba kena kembali ke pasukan negeri asal selama semusim sedangkan pasukan lain menawarkan gaji lebih baik? katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:18 AM