ANTARA rokok tidak sah yang dirampas.  FOTO Mohd Hasbi Sidek
ANTARA rokok tidak sah yang dirampas. FOTO Mohd Hasbi Sidek
Oleh Mohd Hasbi Sidek

Pelabuhan Klang: Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Daerah Klang merampas 1,780 karton rokok tidak sah bernilai RM142,400 yang cuba diseludup selepas menahan bot pancung di Perairan Pantai Acheh, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 3.45 pagi itu, bot berkenaan dipercayai terkandas akibat air surut di lokasi kejadian.

Ketua Penguat kuasa Maritim Daerah Klang Laksamana Pertama Maritim Mohd Aliyas Hamdan berkata, bot ronda mengesan kehadiran bot pancung dari Indonesia berkenaan.

"Apabila menyedari kehadiran penguatkuasa, tekong dan awak-awak dipercayai warga Indonesia bertindak melarikan diri ke darat.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot mendapati rokok tidak sah cuba diseludup ke negara ini menggunakan bot berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 4:41 PM