BERCUTI di luar negara beberapa kali setahun boleh direalisasikan dengan cara yang betul.
BERCUTI di luar negara beberapa kali setahun boleh direalisasikan dengan cara yang betul.
Oleh Suliati Asri


“Bagaimana mereka boleh bercuti di luar negara beberapa kali setahun ya. Aku setahun sekali saja pun susah.”

Itu yang penulis rasakan dan mungkin ramai lagi mereka yang minat melancong turut mempunyai pendapat sama.

Melancong ke luar negara beberapa kali setahun bukan sesuatu yang mustahil jika ada perancangan yang betul.

Jom semak tip melancong kali ini yang menyenaraikan beberapa cara supaya anda dapat bercuti ke luar negara beberapa kali setahun. Selamat bercuti!

- Kejar harga pakej bukan destinasi

Mungkin anda terlalu ingin pergi ke Hawaii kerana keindahan pantainya. Namun, harga tiket penerbangan dan penginapannya mahal. Justeru, impian anda tidak akan menjadi kenyataan.

Hendak seribu daya. Jadi, luaskan fikiran anda dan jadi orang yang terbuka untuk mengunjungi destinasi lain. Jangan hanya kejar destinasi yang ingin dituju, tetapi kejar harga pakej yang murah dan berbaloi.

Dengan mengejar harga pakej murah, anda boleh bercuti dengan kerap. Anda mungkin berpeluang melihat tempat yang anda fikir sebelumnya tidak wujud.

-Lakukannya sendiri

Dengan melakukan perancangan dan perjalanan sendiri, anda dapat menjimatkan wang. Namun, pastikan anda melakukan banyak kajian sebelum menetapkan percutian impian itu.

Lakukan banyak kajian dan pastikan anda membaca syarat ditetapkan hotel atau tawaran menarik lain.

Selain itu, luangkan masa memeriksa ulasan hotel dan lokasi hotel yang hendak dipilih. Apakah ia dekat dengan pusat beli-belah atau mempunyai kemudahan pengangkutan awam yang mudah.

Anda pasti tidak mahu menghabiskan wang untuk membayar tambang teksi yang mahal.

-Pilih negara-negara yang murah

Memilih untuk bercuti di London, Paris atau New Zealand bukan sesuatu percutian yang murah. Jadi, cari negara yang masih murah untuk dikunjungi.

Untuk mencari negara yang murah untuk dikunjungi, lakukan kajian terutama kos tempat tinggal.

Anda mungkin boleh mendapatkan pakej percutian yang bagus untuk negara tertentu, tetapi makanan dan belanja di sana mungkin mahal.

Vietnam, Thailand dan Indonesia boleh jadi pilihan yang lebih baik kerana di sana, penginapan, makan dan belanja masih murah.

-Cari pakej percutian

Jangan hanya mencari tiket penerbangan yang murah atau tawaran hotel menarik. Sebaliknya, cari dan dapatkan pakej percutian dengan banyak item yang termasuk di dalamnya.

Pilih pakej percutian yang termasuk di dalamnya tawaran sarapan, pengangkutan ke lapangan terbang, makanan, kelab kanak-kanak dan perawatan spa.

Justeru, berusahalah untuk mencari yang terbaik.

-Makan angin ketika bukan musim cuti

Jika boleh, pergi bercuti ketika bukan musimnya kerana kurang jumlah pengunjung ke destinasi berkenaan.

Setiap negara mempunyai musim cuti berbeza. Pastikan anda mencari sebanyak mungkin maklumat yang diperlukan.

-Daftar untuk mendapatkan pelbagai promosi istimewa

Cara terbaik mendapatkan harga murah dan tawaran menarik melalui promosi istimewa.

Ambil tawaran yang datang dan melanggan semua ‘newsletter’ syarikat penerbangan dan hotel.

-Jadi pelanggan setia

Penumpang yang menjadi pelanggan tetap syarikat penerbangan biasanya mendapat kemudahan tertentu seperti akses ke ‘lounge’ syarikat penerbangan itu di lapangan terbang.

-Berjimat dengan insurans

Kemalangan dan kejadian lain yang tidak pernah terduga boleh membuatkan anda mengeluarkan banyak belanja.

Justeru, pastikan anda memiliki insurans perjalanan, apatah lagi jika anda merancang bercuti beberapa kali dalam setahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 10:14 AM