Program Tourism Networking LADA Bersama Pemain Industri Langkawi, Johor dan Singapura di sebuah hotel di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Program Tourism Networking LADA Bersama Pemain Industri Langkawi, Johor dan Singapura di sebuah hotel di sini, hari ini. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Oleh Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Kadar inflasi yang terus meningkat dengan kejatuhan nilai mata wang dan kenaikan harga barangan asas di negara ini tidak menjejaskan jumlah kemasukan pelancong ke Langkawi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasarudin Abd Mutalib berkata, hal itu kerana dengan tawaran percutian di bawah harga RM500 lengkap dengan penginapan dan makan minum, memadai kepada sesiapa sahaja yang ingin melancong ke pulau berkenaan.

"Nilai mata wang yang rendah tidak menjejaskan langsung pelancongan domestik dan itu juga sebenarnya memberi galakan yang baik kepada pelancong antarabangsa untuk melancong ke Langkawi.

"Bayangkan, untuk percutian dua hari satu malam pun ada pakej di bawah RM500 lengkap dengan percutian yang cukup menarik seperti penginapan di hotel empat bintang termasuk makan selain jadual perjalanan untuk lawatan sekitar Langkawi.

"Jadi, ini saya rasa percutian yang mampu untuk rakyat Malaysia apatah lagi antarabangsa," katanya ketika sidang media selepas Program Tourism Networking LADA Bersama Pemain Industri Langkawi, Johor dan Singapura di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Pemasaran Tourism Malaysia - Singapura, Fiona Estrop dan Timbalan Pengurus Bahagian Pelancongan LADA, Azmil Munif Mohd Bukhari.

Menurut Nasaruddin, kedatangan pelancong ke Langkawi kini dikategorikan sebagai amat menggalakkan yang mana bermula Januari lalu hingga Julai, seramai 1.4 juta pelancong dilaporkan datang ke Langkawi.

Hal itu katanya, membuatkan LADA mensasarkan pulau berkenaan akan menerima pelancong sehingga 2.5 juta orang sehingga ke akhir tahun.

"Kita mensasarkan 85 peratus adalah pelancong domestik, manakala 25 lagi adalah pelancong antarabangsa.

"Sasaran ini diletakkan kerana kita melihat kepada cabaran pada masa sekarang juga yang mana kita perlu mempertingkatkan kedatangan pelancong antarabangsa ke Langkawi," katanya.

Pada 2019, Langkawi merekodkan jumlah kehadiran seramai 3.9 juta pelancong, sebelum jumlah itu turun mendadak pada 2020 dan 2021 dengan rekod kehadiran seramai 1.8 juta dan 1 juta masing-masing akibat pandemik Covid-19.

Apabila sektor pelancongan di pulau itu kembali rancak selepas peralihan fasa kepada endemik dan sempadan negara dibuka, antara usaha dilakukan LADA untuk meningkatkan kemasukan pelancongan ke Langkawi dengan menambah kekerapan penerbangan ke pulau itu.

"Sebagai contoh, jumlah penerbangan terus ke Langkawi dari Johor Bahru sendiri ditambah daripada empat penerbangan kepada tujuh penerbangan seminggu, manakala dari Singapura terdapat lapan penerbangan terus seminggu," kata Nasaruddin.

Mengulas lanjut tentang program jaringan yang diadakan itu, Nasaruddin berkata, ia bertujuan mengukuhkan lagi rangkaian kerjasama sedia ada antara pengusaha pelancongan di Langkawi dengan pengusaha pelancongan di Johor Bahru serta Singapura.

Sementara itu, Fiona berkata, tren percutian ke Langkawi oleh rakyat Singapura dilihat masih rendah dipercayai berpunca daripada kemudahan jenis penerbangan yang disediakan untuk menuju ke pulau berkenaan.

"Setakat ini, Langkawi belum lagi mencapai tahap lokasi percutian pilihan bagi rakyat Singapura walaupun kita lihat pulau itu menawarkan percutian yang menarik.

"Rakyat republik itu kurang untuk memilih penerbangan tambang murah, mungkin jika ada jenis penerbangan dengan syarikat penerbangan yang komersial, saya pasti Langkawi boleh menjadi destinasi percutian pilihan rakyat Singapura," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 5:32 PM