FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Harga tinggi sama ada penginapan mahupun pakej pelancongan dipercayai antara faktor yang mendorong rakyat Malaysia melancong ke negara jiran terutama Thailand.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelancongan Negara Dr Fathir Alhadad berkata, dianggarkan 3.8 juta pelancong Malaysia memasuki Thailand dari Januari lalu hingga November.

Katanya, jumlah itu juga semakin bertambah setiap hari sekali gus menjadikan Malaysia juara carta ketibaan pelancong tertinggi di Thailand tahun ini.

"Ini hakikatnya, kenapa? Sebabnya dengan perbelanjaan serendah RM299 seorang, anda sudah boleh mendapatkan pakej percutian ke Thailand. Harga penginapan yang murah, layanan yang mesra dan makanan yang berbaloi menyebabkan ramai rakyat Malaysia memasuki Thailand.

"Bukan negara kita tidak mempunyai tempat menarik untuk bercuti, tetapi harga percutian dalam negara tinggi walaupun kita menginap di hotel bertaraf dua atau tiga bintang.

"Peniaga di negara ini perlu bermuhasabah. Jika mereka ingin kekalkan harga yang tinggi, pelancong domestik akan mencari lokasi percutian lain yang lebih berbaloi dengan kewangan mereka," katanya kepada Harian Metro.

Dr Fathir berkata, tidak adil untuk menyalahkan kerajaan sepenuhnya dalam isu kurang pelancong, selepas pelbagai inisiatif diperkenal termasuk, menurunkan harga minyak masak, tidak menaikkan cukai tanah dan pintu serta memberikan pengecualian visa kepada beberapa negara.

"Tetapi jika harga percutian di negara kita tidak menarik, jangan kata pelancong luar tidak datang, malah pelancong domestik juga akan keluar untuk bercuti," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (Matta) Datuk Mohd Khalid Harun berkata, rakyat Malaysia terdorong melancong ke Thailand disebabkan faktor infrastruktur dan lokasi percutian yang menarik.

"Rakyat Malaysia melancong ke destinasi yang belum pernah diterokai, jadi tidak hairanlah bagi yang melancong ke Thailand melalui Kedah kerana beberapa sebab.

"Antaranya, kemasukan ke Thailand mudah dan infrastrukturnya pun baik. Malah, boleh bawa kenderaan sendiri atau menaiki kenderaan awam, selain lokasi percutian juga menarik dan harga makanan murah seperti buah-buahan," katanya.

Menurutnya, harga tempat penginapan yang berbaloi dengan keselesaan ditawarkan juga satu daya tarikan selain, orang Thailand peramah dan memberi layanan kelas pertama.

"Sementara kita dari segi perkhidmatan jauh ketinggalan, Atas faktor itu percutian ke luar negara seperti Thailand dan Indonesia buat masa ini berbalori," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam sesak luar biasa sejak 15 Disember lalu, apabila lebih 80,000 pelancong dari Malaysia keluar untuk bercuti ke Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 12:00 PM