Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Mampukah Datuk Seri Subahan Kamal (gambar) menggalas tugas berliku selaku Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC)?

Itu persoalan yang pastinya menjadi teka-teki bagi pemerhati sukan serta warga badan induk itu sendiri selepas bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu tidak mendapat sebarang cabaran bagi kerusi tertinggi menjelang pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 13 Mei ini.

Meskipun dilihat ‘mudah’ memenangi kerusi itu menggantikan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang tidak mempertahankan jawatan, hakikatnya bukan mudah untuk Subahan menyelesaikan pelbagai masalah yang berlaku dalam badan induk itu ketika ini.

Bagi bekas Setiausaha Agung badan induk itu yang dahulunya dikenali sebagai Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) Maninderjit Singh, Subahan memerlukan satu pelan jangka masa panjang bagi memulihkan reputasi MHC.

“Saya fikir beliau pasti mempunyai pelan tindakan yang perlu dilaksanakan. Pelan itulah yang akan menentukan hala tuju MHC selepas ini.

“Di samping itu, Subahan juga memerlukan orang terbaik dalam pasukannya dan semua itu hanya akan diketahui pada AGM akan datang,” kata Maninderjit merujuk kepada persaingan untuk kerusi timbalan presiden lelaki dan wanita serta calon naib presiden.

Bagi Maninderjit, lima tindakan perlu dilakukan Subahan adalah perlu mempunyai kecekapan pentadbiran di dalam MHC.

Subahan juga harus pastikan MHC mempunyai kewangan yang stabil, menstruktur semula kesemua pasukan kebangsaan baik lelaki, wanita dan remaja, merangka semula kejohanan tempatan seperti Liga Hoki Malaysia dan Liga Hoki Remaja Malaysia dan terakhir pelan pembangunan hoki di negara ini.

“Tempoh 100 hari pentadbirannya iaitu selepas 13 Mei tempoh yang cukup penting untuk dirinya.

“Ini kerana, pasti ramai yang mahu melihat apakah perubahan yang akan dilakukannya untuk MHC yang kini sememangnya agak kucar kacir,” kata Maninderjit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 8:42 AM