TENGKU Abdullah (dua dari  kiri ) hadir  kongres MHC di Hotel Royal Chulan.
TENGKU Abdullah (dua dari kiri ) hadir kongres MHC di Hotel Royal Chulan.
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: “Saya sedikit terkilan dan sedih.” Itu antara ayat awal keluar dari mulut Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah merujuk kepada pertelingkahan dan masalah dalaman menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang sepatutnya berlangsung semalam tetapi akhirnya dibatalkan.

“Hari ini (semalam) saya nak umumkan tiada AGM atau EGM (Mesyuarat Agung Luar Biasa) kerana ada pihak yang tidak setuju dengan pindaan perlembagaan sebelum ini.

“Yang lebih penting daripada isu itu ialah, saya sudah nampak perangai beberapa individu (dalam MHC),” katanya pada ucapan pembukaan semalam.

Tengku Abdullah kemudian tampil dengan jalan penyelesaian apabila memutuskan untuk kembali membincangkan pindaan perlembagaan itu, bermula dengan mengadakan Mesyuarat Ahli Majlis yang dicadangkan pada 1 Mac.

Mesyuarat itu, jelas Tengku Abdullah bagi membincangkan tarikh sesuai untuk mengadakan EGM yang akan membincangkan semula pindaan perlembagaan itu sebelum ia diserahkan kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Kemudian, Tengku Abdullah berharap AGM akan dilangsungkan sekitar Mei.

“Kalau ada isu berkaitan gender, kita akan bincangkan. Saya tidak pernah pertikaikan hak wanita.

“Mungkin kita boleh kemukakan idea untuk mewujudkan dua timbalan presiden. Semua pihak puas hati.

“Tolonglah hormati saya sebelum tinggalkan MHC. Apapun, saya nak semua perbetulkan imej kita semula,” katanya.

Pesuruhjaya Sukan Datuk Zaiton Othman sebelum ini membatalkan pindaan perlembagaan baru MHC kerana pindaan yang dilakukan ketika EGM pada 13 Oktober tahun lalu di Johor Bahru didapati tidak mencukupi korum.

Justeru itu, Zaiton memberikan dua pilihan kepada MHC iaitu pertama mengadakan AGM dengan menggunakan perlembagaan lama atau mengadakan EGM untuk membincangkan pindaan perlembagaan dengan korum yang mencukupi.

Keputusan Zaiton itu mencetuskan kemelut antaranya dengan Naib Presiden Kanan MHC Datuk Nur Azmi Ahmad yang pasti akan terlucut pencalonan bertanding jawatan Timbalan Presiden mencabar penyandang Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah sekiranya menggunakan perlembagaan lama.

Azmi juga mempersoal mengapa perlembagaan baru itu tidak diterima Zaiton selepas bekas Pesuruhjaya Sukan Datuk Ahmad Shapawi Ismail sudah meluluskannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:25 AM