Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sudah pun membalas surat Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menjawab beberapa persoalan yang diajukan badan induk itu berhubung draf pindaan perlembagaan MHC.

Setiausaha Agung MHC Datuk Mohd Johari Abdul Aziz (gambar) berkata, surat yang dihantar tiga hari lalu itu bertujuan memberi penjelasan kepada FIH selepas badan induk itu menegaskan pindaan perlembagaan MHC yang dibuat pada 31 Oktober lalu tidak memenuhi kriteria badan induk itu.

“Memang FIH ada peraturan tetapi ia tidaklah wajib untuk diikuti. Kami menjawab surat itu bagi memberi penjelasan lebih lanjut kepada FIH,” katanya ketika dihubungi semalam.

Justeru itu, Johari berkata, MHC tidak perlu untuk mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) sekali lagi untuk memperbetulkan pindaan perlembagaan itu.

“Kami juga sudah maklumkan perkara ini kepada Pesuruhjaya Sukan dan kini hanya menanti jawapan daripada mereka untuk mengadakan AGM (Mesyuarat Agung Tahunan),” katanya.

Arena Metro sebelum ini melaporkan MHC menghantar laporan tahunan yang mempunyai isi kandungan tidak tepat kepada Pesuruhjaya Sukan dalam proses untuk mengadakan AGM yang dijadualkan pada awal tahun depan.

Ini kerana, badan induk itu tetap menghantar laporan berhubung pindaan perlembagaan hasil daripada EGM pada 31 Oktober lalu kepada Pesuruhjaya Sukan meskipun ia tidak mendapat pengesahan daripada FIH.

Buktinya, FIH menerusi surat bertarikh 17 November lalu menyatakan draf perlembagaan yang dikemukakan MHC tidak mematuhi kehendak mereka.

Surat itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif FIH Kelly Fairweather kepada Johari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Disember 2014 @ 9:31 PM