Manila: Pemangku Ketua Polis Filipina, Leonardo Espina menegaskan, apa yang terjadi kepada anggota mereka di Mamasapano 25 Januari lalu salah Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Justeru, kata Espina, kumpulan pejuang Islam itu mesti bertanggungjawab.

“Tragedi itu adalah pembunuhan, bukan kesilapan atau tidak disengajakan seperti dakwaan MILF,” katanya ketika menyampaikan taklimat di depan Senat, semalam.

Sidang itu diadakan bagi mendengar apa sebenarnya berlaku pada tarikh berkenaan sehingga 44 anggota komando polis maut ketika memburu Zulkifli Hir - warga Malaysia yang dikehendaki kerajaan atas dakwaan menjadi pengganas.

Zulkifli atau lebih dikenali dengan panggilan Marwan disahkan terbunuh dalam operasi khas itu.

Menurut Espina, MILF juga mesti memulangkan semua senjata dan peranti milik Pasukan Tindakan Khas (SAF) polis Filipina yang dirampas ekoran pertempuran lebih 10 jam itu.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya layanan mereka terhadap anggota polis yang kebanyakannya ditembak dari jarak dekat menggunakan senapang berkuasa tinggi.

“Ketika itu mereka memakai pakaian seragam serta lencana SAF.

“Jika MILF sedar serangan itu tidak disengajakan, mereka sepatutnya mengakhirinya dengan pantas,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 7:38 AM