Kuala Lumpur: Bukan tugas mudah namun jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim Swee sedia menyahut cabaran untuk membawa pulang pingat emas Sukan SEA Singapura Jun ini.

Pengendali berusia 44 tahun itu berkata, situasi ketika ini tidak sama berbanding skuad Harimau Muda yang berjaya merangkul emas Sukan SEA Jakarta empat tahun lalu namun sasaran tinggi yang diletakkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu akan cuba ditunaikan sebaik mungkin.

“Ia bukan tugas mudah dan jika dibandingkan persiapan kita sekarang dengan empat tahun lalu memang berbeza. Siapa yang tidak mahu menang emas dan saya sebagai jurulatih juga mengimpikan perkara sama.

“Memang tidak mustahil cuma apa yang perlu dilihat adalah persiapan dan tahap prestasi pemain yang akan dipanggil menyertai skuad negara. Saya berharap tidak berdepan masalah kecergasan dan kecederaan pemain yang serius menjelang kejohanan itu nanti,” katanya semalam.

Dalam laporan Arena Metro semalam, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengumumkan skuad B-23 negara bakal menggalas misi meraih emas di Sukan SEA Singapura selepas gagal mempertahankan pingat emas di Myanmar dua tahun lalu apabila hanya menduduki tempat keempat.

Ia sekali gus menjadi cabaran getir yang perlu dipenuhi Kim Swee memandangkan beliau hanya mempunyai tiga minggu untuk mengumpul pemain sebelum ke Singapura kerana sebilangan besar pemain bersama skuad B-22 kendalian Razip Ismail.

Kim Swee yang sebelum ini dilaporkan hampir berpindah ke Sabah namun membuat keputusan untuk terus kekal hingga tamat kontrak Disember ini mengakui emas temasya dwi-tahunan itu cukup simbolik bagi kariernya.

“Sama ada Sukan SEA ini yang terakhir ataupun saya akan menyambung kontrak baru akan ditentukan kemudian namun apa yang penting ialah misi yang perlu diteruskan. Sukan SEA Jakarta memberi kenangan manis buat saya. Justeru, temasya ini cukup simbolik bagi saya.

“Apa yang penting, kami perlu fokus kerana halangan bukan mudah dengan Thailand dilihat pasukan pilihan manakala Singapura, Indonesia dan Vietnam juga memiliki peluang seimbang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:05 AM