Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Spekulasi mengenai perpindahan Datuk Ong Kim Swee ke Sabah berakhir apabila jurulatih Harimau Muda A itu dikatakan bersedia meneruskan baki kontraknya hingga Disember ini.

Difahamkan keputusan pengendali kelahiran Melaka itu dibuat selepas beliau mendapat sokongan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk terus membimbing skuad bawah 23 tahun (B-23) ke Sukan SEA Singapura Jun ini.

Menurut sumber dalaman, hasil pertemuan dengan Tengku Abdullah Isnin lalu, Kim Swee membatalkan keputusannya untuk berpindah, namun beliau mungkin diberi pilihan untuk melepaskan jawatan itu selepas berakhirnya temasya Sukan SEA.

“Kim Swee dijangka kekal membimbing skuad Sukan SEA kerana Tengku Abdullah mahu beliau meneruskan tugasan itu seperti dipersetujui dalam kontrak. Kim Swee tetap menghormati kontrak bersama FAM kerana itu beliau mahu menyelesaikan isu ini menerusi perbincangan bersama,” katanya semalam.

Kedudukan Kim Swee, 44 di FAM tidak menentu berikutan keputusan mengejut badan induk itu yang menyerahkan tugas membimbing skuad B-22 ke Kejohanan Kelayakan AFC B-23 Mac depan kepada jurulatih Harimau Muda B Razip Ismail.

Ada pihak berpendapat tidak adil untuk menyerahkan pasukan yang sudah lama bersama Razip kepada Kim Swee dalam tempoh sebulan sebelum Sukan SEA bermula.

Dalam tempoh sekarang sehingga Mei, Kim Swee yang membawa skuad muda negara mempertahankan pingat emas Sukan SEA Jakarta 2011 itu hanya ditugaskan sebagai pencari bakat.

Berdasarkan maklumat sumber, Kim Swee dilapor bersedia mengubah haluan dengan Sabah sedia berbelanja besar untuk menebus kontraknya yang bernilai kira-kira RM500,000.

Arena Metro cuba menghubungi jurulatih berkenaan bagi mengesahkan keputusan terbaru itu, namun beliau enggan memberikan sebarang kenyataan sebelum Tengku Abdullah membuat pengumuman rasmi Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 7:21 AM