KIM Swee (kanan) sokong visi  Razip.
KIM Swee (kanan) sokong visi Razip.

Kuala Lumpur: Semuanya sudah terjawab apabila jurulatih Harimau Muda A Datuk Ong Kim Swee tampil membuat pengakuan untuk kekal meneruskan perjuangan membimbing skuad bawah 23 tahun (B-23) ke Sukan SEA Singapura sekali gus menutup spekulasi perpindahannya ke Sabah musim ini.

Seperti dilaporkan Arena Metro semalam, pengendali berusia 44 tahun itu mengesahkan tidak akan ‘lari’ daripada tugas diamanahkan sebaliknya menghormati kepercayaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepadanya sehingga kontrak tamat Disember tahun ini.

“Saya mahu menjelaskan yang saya sudah membuat keputusan untuk kekal jurulatih skuad Sukan SEA 2015 dan terus bersama FAM. Saya harap keputusan ini menutup spekulasi yang mengaitkan masa depan saya. Keputusan ini dibuat kerana perjuangan saya bersama pasukan ini masih belum selesai,” katanya semalam.

Kemelut membabitkan Kim Swee berlaku apabila beliau dikatakan kecewa dengan keputusan FAM yang memberikan melantik jurulatih Harimau Muda B Razip Ismail untuk membimbing skuad B-22 ke Kejohanan Kelayakan AFC B-23 Mac ini manakala beliau hanya ditugaskan sebagai pencari bakat sebelum membawa skuad muda negara ke Sukan SEA Singapura pada Jun.

Bagaimanapun beliau yang membawa skuad negara mempertahankan pingat emas Sukan SEA Jakarta 2011 menafikan sebarang persengketaan antara dirinya, FAM dan Razip.

“Itu dakwaan tidak tepat, saya tidak pernah berkecil hati dengan tanggung jawab diberikan kepada mana-mana individu. Razip juga membimbing skuad negara dan kita perlu berikan sokongan kepadanya tidak kira apa yang berlaku,” katanya.

Kim Swee yang hanya akan mengumpul pemain Mei ini, sebulan sebelum Sukan SEA bermula, hanya mahu memberikan fokus kepada persiapan pasukan.

“Lebih mustahak sekarang perhatian kepada pasukan. Saya harap persiapan pasukan berjalan lancar tanpa apa-apa gangguan sebelum Sukan SEA bermula,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 7:49 AM