Oleh Aziman Rosdi

Kelana Jaya: Pingat emas Sukan SEA Singapura tetap berharga buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila badan induk itu mahu skuad bawah 23 tahun (B-23) negara merampas ibu segala pingat itu.

Ketika ada pihak hanya mahu memberi penekanan kepada pendedahan atlet di Sukan SEA Jun ini, Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tetap meletakkan sasaran tinggi kepada skuad muda kendalian Datuk Ong Kim Swee itu.

“Sukan SEA Singapura kita sasarkan pingat emas. Pada kejohanan (Piala Emas Bangabandhu) di Bangladesh, pasukan kita layak ke final, ini satu petanda baik.

“Sebilangan besar pemain beraksi dalam pasukan itu berusia bawah 23 tahun,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan Skuad Kebangsaan di Wisma FAM semalam.

Ia pasti tugasan cukup mencabar buat Kim Swee selepas hanya mempunyai masa tiga minggu sebelum ke Singapura untuk mengumpul semua pemain buat kali pertama bagi latihan pusat dan perlawanan persahabatan.

Ini kerana sebilangan besar pemain bersama skuad B-22 kendalian Razip Ismail yang kini berada di Bangladesh bagi kejohanan Piala Emas Bangabandhu sebelum menyertai pusingan kelayakan AFC B-23 Mac depan.

Skuad negara memenangi emas di Sukan SEA Jakarta 2011 namun mereka gagal mengulangi kejayaan itu apabila sekadar menduduki tempat keempat di Myanmar dua tahun lalu.

Bagi FAM, emas Sukan SEA tetap menjadi keutamaan mereka meskipun sebelum ini Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mahu temasya dwi tahunan itu sebagai medan pendedahan atlet pelapis manakala Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Imran Tunku Ja’afar pula tidak mahu menetapkan sebarang sasaran pingat kepada kontinjen negara kali ini.

Menurut Tengku Abdullah, mereka akan mengatur persiapan rapi untuk skuad negara sebelum ke kejohanan itu.

“Ketika ini kita fokus kepada pasukan Sukan SEA dan skuad bawah 22 tahun ke pusingan kelayakan AFC B-23,” katanya.

Mengikut perancangan, Kim Swee akan hanya memanggil pemain berusia 23 tahun bulan depan bagi sesi latihan pusat dan tiga perlawanan persahabatan dengan kelab divisyen dua Thailand di Bangkok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 6:58 AM