KPI Kim Swee (kanan) dinilai menerusi emas Sukan SEA Singapura.
KPI Kim Swee (kanan) dinilai menerusi emas Sukan SEA Singapura.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: “Tiada perubahan. Datuk Ong Kim Swee kekal bimbing skuad Bawah 23 Tahun (B-23) di Sukan SEA 2015.”

Itu reaksi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung andaian Mohd Razip Ismail akan diberi peluang membimbing skuad Sukan SEA negara pada kejohanan dwitahunan itu Jun ini.

Perkembangan itu timbul susulan kejayaan skuad Bawah 22 Tahun (B-22) menjuarai Piala Bangabandhu di Bangladesh, Ahad lalu, kejuaraan sulung Razip yang dilantik pengendali Harimau Muda B pada November tahun lalu.

Bagaimanapun perkembangan itu segera ditepis Hamidin dengan menegaskan tugas membimbing skuad B-23 sudah diamanahkan kepada Kim Swee, pengendali yang pernah memberikan pingat emas Sukan SEA 2011 Indonesia.

“Keputusan FAM tetapkan sebelum ini kekal, termasuk Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) kepada setiap peringkat pasukan kebangsaan seperti diputuskan pada Mesyuarat Exco tahun lalu.

“Ini bermakna KPI bagi Razip adalah layak secara merit ke saingan Piala AFC B-23, iaitu melepasi saingan peringkat Kumpulan I di Stadium Shah Alam hujung bulan depan.

“Selain itu mereka turut perlu fokus kepada saingan Liga Singapura,” tegas Hamidin.

“KPI Kim Swee memenangi emas Sukan SEA Singapura. Tidak timbul isu Razip mengambil alih tempat Kim Swee.

“Saya yang mewakili FAM ingin menegaskan tiada pertukaran tugas antara jurulatih dengan setiap pegawai FAM sudah dimaklumkan mengenai perancangan dan sasaran ditetapkan tahun ini,” katanya.

FAM sebelum ini membubarkan Harimau Muda A kendalian Kim Swee sekali gus menyebabkan pengendali itu tidak mempunyai pasukan, namun diarah memantau pemain bawah 23 tahun bagi dikumpulkan menghadapi Sukan SEA sekali gus dikatakan menimbulkan rasa kurang senang pengendali dari Melaka itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Februari 2015 @ 7:57 AM