Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Bagi membangunkan projek hartanah, pembiayaan dari pihak bank menjadi perkara utama kerana ia sumber pelaksanaannya.

Dalam konsep pembangunan tanah wakaf, pembiayaannya sebelum ini pernah dilaksanakan Bank Islam Bhd dan Bank Ar Rajhi menerusi pembiayaan akhir bagi projek Wakaf Seetee Aishah di Pulau Pinang.

Baru-baru ini Bank Muamalat pula menandatangani bersama Uda Waqf Sdn Bhd (Uda Waqf) bagi membangunkan tanah wakaf di Malaysia dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri di Malaysia yang mana bank berkenaan bersetuju untuk membiayai projek berkenaan dalam konsep kerjasama.

Presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, bagi pihak bank untuk membiayai projek pembangunan tanah wakaf agak sukar berikutan ia tidak boleh dicagarkan.

Beliau berkata, dalam membiayai projek hartanah, tanah adalah satu subjek yang menjadi cagaran bagi memastikan sekiranya berlaku masalah pembayaran, pihak bank boleh mengambil aset berkenaan.

“Status tanah wakaf yang tidak boleh ditukar statusnya memberi cabaran kepada pemaju swasta untuk membangunkannya berikutan kesukaran mendapatkan pembiayaan kerana ia berisiko kepada bank.

“Dari segi konsep kerjasama yang dilaksanakan Bank Muamalat baru-baru ini adalah satu projek perintis yang mana kami memperuntukkan sejumlah wang bagi membantu membangunkan tanah wakaf,” katanya kepada Bisnes Metro.

Katanya, sekiranya projek yang dilaksanakan bersama Uda Waqf berjaya ia boleh menjadi model kepada bank lain untuk menyertai projek pembangunan tanah wakaf.

“Boleh dikatakan peruntukan wang pihak bank untuk tanah wakaf itu bersifat tanggungjawab sosial kerana potensi keuntungannya berdepan dengan risiko.

“Namun, saya percaya sekiranya kita melakukannya atas dasar yang baik ia akan memberi pulangan yang baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 7:24 AM