Kuala Lumpur: Uda Holdings Bhd (Uda) pemaju hartanah yang pertama di Malaysia yang membangunkan tanah wakaf dalam skala besar melihat pembangunan tanah dalam status itu mempunyai potensi yang besar untuk dimajukan mengikut konsep perniagaan yang betul untuk jangka masa panjang.

Tanah wakaf di Malaysia juga dilihat sangat berpotensi untuk dibangunkan dalam usaha memberi pulangan semula kepada masyarakat serta menjana ekonomi, tetapi berdepan dengan cabaran modal pelaksanaannya.

Pengerusinya, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya membuka peluang kepada semua Majlis Agama Islam Negeri di Malaysia untuk bekerjasama dengannya terutama mendapatkan modal pembangunan.

Beliau berkata, selain cabaran mendapatkan modal, pembangunan tanah wakaf juga berdepan dengan isu pengurusan untuk jangka masa panjang dan Uda sebagai entiti berpengalaman dalam sektor hartanah bersedia untuk memajukan tanah wakaf di Malaysia dalam skala besar.

“Setakat ini kami telah mebangunkan antara dua hingga tiga projek pembangunan tanah wakaf dan akan datang Uda dalam proses mengadakan perbincangan dengan Majlis Agama Islam Negeri antaranya Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.

“Projek pembangunan tanah wakaf ini juga perlu bersifat memberi keuntungan dalam syarikat kerana ia memberi kesan kepada pemaju dan juga pemilik tanah wakaf berkenaan dari segi penjanaan ekonomi,” katanya kepada Bisnes Metro.

Terdahulu, Uda menerusi anak syarikatnya, Uda Waqf Sdn Bhd (Uda Waqf) merancang membangunkan empat hektar tanah wakaf di beberapa lokasi di negara ini dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan berkenaan.

Johari berkata, pihaknya membuka peluang kepada mana-mana Majlis Agama Islam di Malaysia untuk bekerjasama dengan Uda bagi membangunkan tanah wakaf di negeri masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 7:24 AM