Pengerusi Bank Muamalat (tengah) Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid menyaksikan pertukaran perjanjian di antara Ahmad  (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.
Pengerusi Bank Muamalat (tengah) Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid menyaksikan pertukaran perjanjian di antara Ahmad (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Kuala Lumpur: Uda Holdings Bhd (Uda) menerusi anak syarikatnya, Uda Waqf Sdn Bhd (Uda Waqf) merancang membangunkan empat hektar tanah wakaf di beberapa lokasi di negara ini dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) yang memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan berkenaan.

Pengarah Urusan Kumpulan Uda, Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya sedang mengkaji beberapa lokasi tanah wakaf untuk dibangunkan iaitu di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor, Perlis, Kedah dan Kelantan.

Beliau berkata, pembangunan tanah wakaf itu adalah menerusi kerjasama dengan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) berdasarkan konsep Ijarah atau pajakan apabila MAIN akan memajak harta kepada pembeli dengan kadar sewa dan tempoh tertentu seperti dipersetujui semasa akad.

“Pembangunan tanah wakaf secara komprehensif dan progresif menjadi platform Uda Waqf membantu meningkatkan tahap sosio ekonomi umat Islam dengan membuka lebih banyak peluang umat Islam untuk membabitkan diri dalam aktiviti pembangunan tanah wakaf yang akan dilaksanakan kelak.

“Selain itu, pembangunan tanah wakaf adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami yang boleh memberi pulangan optimum kepada umat Islam sekali gus meningkatkan pemilikan harta di kalangan mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Uda Waqf dan Perjanjian dengan Bank Muamalat.

Menerusi perjanjian itu, tanah wakaf yang dikenal pasti akan dibangunkan oleh Uda Waqf dan Bank Muamalat melalui konsep Musyarakah atau usahasama yang mana kedua-dua pihak berkongsi keuntungan, kerugian serta menanggung segala risiko permabngunan berkenaan.

Terdahulu pada 2013, Uda bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Pulau Pinang untuk membangunkan taman Wakaf Satee Aisah seluas 3.7 hektar di Pulau Pinang.

Ahmad berkata, atas kejayaan pembangunan projek berkenaan, Uda berhasrat untuk mempergiatkan usahanya membantu Majlis Agama Islam Negeri lain untuk memajukan tanah wakaf mereka bagi masyarakat Islam sekali gus merancakkan aset dan hartanah di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 January 2015 @ 5:06 AM