Muhammad Ali  (kanan) bersama Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tan Sri Amirsham A Aziz (dua dari kanan) melawat pameran  pada Konvensyen Aspirasi Usahawan Muslim 2014.
Muhammad Ali (kanan) bersama Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Tan Sri Amirsham A Aziz (dua dari kanan) melawat pameran pada Konvensyen Aspirasi Usahawan Muslim 2014.

Kuala Lumpur: Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM) bercadang untuk menubuhkan projek Taman Korporat Putrajaya yang mana modal pembangunannya berkonsepkan wakaf korporat dalam usaha meningkatkan lagi penyertaan syarikat korporat dalam segmen wakaf di negara ini pada 2015.

Projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM300 juta kini dalam proses akhir dilaksanakan oleh DPIM untuk mendapatkan kebenaran daripada pihak berkuasa untuk dibangunkan atas konsep wakaf.

Presidennya Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata, taman korporat itu bukan saja mengguna pakai konsep wakaf biasa di dalamnya seperti pusat pendidikan ilmu agama, tetapi ia juga akan dilengkapi dengan kemudahan perniagaan kepada usahawan baru untuk memulakan perniagaan.

Beliau berkata, Waqaf An-Nur Corporation Bhd (WANCorp) yang berjaya dibangunkan oleh Johor Corporation akan menjadi model contoh kepada DPIM untuk membangunkan Taman Korporat Putrajaya.

“Kita sudah pun menubuhkan syarikat AWQAF Holdings Bhd bagi menguruskan projek ini kerana ia dijangka dapat menarik lebih ramai minat golongan korporat untuk menyertai projek ini.

“Selain itu, pembangunan projek ini tidak tertumpu kepada golongan korporat untuk menyertainya, tetapi juga kepada individu kerana ia turut bersifat komuniti,” katanya di sini, baru-baru ini.

Wakaf juga dilihat sebagai instrumen pembiayaan dan mekanisme simpanan pelaburan dengan dana dialihkan kepada pengguna serta dilaburkan di dalam aset produktif.

Muhammad Ali berkata, konsep wakaf yang dibangunkan bukan hanya tertumpu kepada pembangunan masyarakat Islam di negara ini, tetapi ia terbuka kepada semua golongan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 5:06 AM