GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Putrajaya: Ibadah wakaf melalui potongan gaji perlu dilihat sebagai antara elemen penting dalam membantu membangunkan ekonomi negara.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, berbeza dengan ibadah zakat yang penerimanya ditentukan kepada lapan golongan asnaf, ibadah wakaf membolehkan semua masyarakat menikmati manfaatnya tanpa mengira pegangan agama.

Katanya, di negara ini, penyediaan peruntukan pembangunan hartanah wakaf di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) hingga Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) membabitkan jumlah keseluruhan RM299.33 juta berjaya membangunkan 18 projek berimpak tinggi.

Beliau berkata, bagi merealisasikan wakaf sebagai elemen penting, penjawat awam digalakkan melaksanakan wakaf secara potongan gaji sama ada melalui Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) atau mana-mana Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

"Dengan sokongan semua, insya-Allah, wakaf mampu menjadi sektor ketiga ekonomi negara yang manfaatnya sekali gus dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.

"Sebagai contoh, pelaksanaan Program Wakaf Air bersama pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), sebanyak enam projek dilaksanakan di enam negeri, memberi manfaat kepada 2,880 penduduk sekitar," katanya dalam ucaptama program Waqf Breakfast Talk: Penjawat Awam Pemangkin Kemakmuran Wakaf semalam.

Mohd Zuki berkata, masyarakat tidak perlu menunggu sehingga memiliki harta seperti rumah atau tanah untuk berwakaf, sebaliknya ia boleh juga dilaksanakan secara tunai melalui inisiatif Wakaf Tunai Malaysia.

Beliau berkata, ia berikutan berwakaf dalam bentuk wang tunai dibolehkan selaras keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-77 pada 2007.

"Saya turut difahamkan sehingga 25 Julai lalu, seramai 6,616 penjawat awam berwakaf melalui potongan gaji dan sehingga kini, potongan aktif hanya membabitkan 2,075 penjawat awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 7:03 AM