KHAIRUL (dua dari kiri) dan  Mohd Azli (dua kanan) selepas menandatangani perjanjian yang disaksikan  Zukri  (kiri) dan  Mohamad Adzib  di Kuala Lumpur, semalam.
KHAIRUL (dua dari kiri) dan Mohd Azli (dua kanan) selepas menandatangani perjanjian yang disaksikan Zukri (kiri) dan Mohamad Adzib di Kuala Lumpur, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menandatangani perjanjian pembiayaan projek pembangunan tanah wakaf bersama Urus Maju Ehsan (M) Sdn Bhd (UME), anak syarikat kepada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) berjumlah RM15.5 juta.

UME akan bertindak sebagai pemaju kepada PWS dalam merangka perancangan strategik dan memastikan pelaksanaan pembangunan di atas tanah wakaf Selangor dengan lebih teratur.

Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat berkata, pembiayaan bagi pembangunan tanah wakaf yang pertama untuk Bank Islam itu merangkumi dua projek di Selangor iaitu pembinaan 164 unit pangsapuri dan 12 unit lot kedai di Seksyen 30, Shah Alam manakala satu lagi projek di Kapar, Klang membabitkan 13 unit kedai pejabat serta 34 unit bazar.

Beliau berkata, perjanjian bersama UME itu akan menyediakan pembiayaan projek serta pembiayaan akhir untuk pembelian unit-unit pangsapuri, rumah kedai dan kedai pejabat melalui produk Pembiayaan-i Perumahan Al-Waqf.

“Pembiayaan ini adalah satu daripada inisiatif Bank Islam dalam menyumbang kepada pembangunan industri wakaf di Malaysia dan platform untuk memastikan tanah wakaf dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk generasi hari ini dan akan datang.

“Kami juga yakin wakaf berjaya mewujudkan sinergi kukuh antara industri kewangan Islam dengan komitmen terhadap situasi sosioekonomi yang turut berpotensi sebagai sumber menjana pendapatan dan mekanisme untuk mengagihkan kekayaan,” katanya selepas majlis menandatangani perjanjian pembiayaan projek pembangunan tanah wakaf Selangor antara Bank Islam dengan UME di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Khairul Kamarudin; Pengerusi Eksekutif UME, Mohd Azli Md Yusof; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan Timbalan Pengerusi PWS, Datuk Ibrahim Md Yusof.

Sementara itu, Mohd Azli berkata, usahasama serta kerjasama dengan Bank Islam dilihat sebagai titik tolak kepada lebih banyak pembangunan bagi tanah wakaf di Selangor bagi pembangunan yang lebih komprehensif.

Menurutnya, pembinaan kedua-dua projek terbabit akan dimulakan tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun dan UME diberi tanggungjawab membangunkan 485.62 hektar tanah wakaf di Selangor terutama tanah wakaf am yang mampu memberi manfaat kepada penduduk sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 7:15 AM