MOHD Salem (dua dari kiri) bersama  Khairul (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian persefahaman di antara UDA dengan Bank Muamalat.
MOHD Salem (dua dari kiri) bersama Khairul (dua dari kanan) bertukar dokumen perjanjian persefahaman di antara UDA dengan Bank Muamalat.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


BANK Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) bakal menyalurkan kira-kira RM100 juta pembiayaan kepada pembeli berpotensi untuk produk hartanah dibangunkan UDA Holdings Berhad (UDA) bagi tahun ini.

Ketua Bahagian Perbankan Konsumer Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden berkata, sebagai permulaan pihaknya menyediakan kemudahan pembiayaan bagi projek kediaman Residensi Akasia Jubilee di Kuala Lumpur.

Katanya, pembeli unit kediaman berkenaan boleh mendapatkan pembiayaan melalui Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dan Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang disediakan Bank Muamalat dengan kerjasama SJKP Berhad dan Cagamas Berhad.

"Menerusi skim terbabit, Bank Mualamat menawarkan 100 peratus pembiayaan untuk projek Residensi Akasia Jubilee yang dijual pada harga RM300,000 seunit.

"Selain itu, kemudahan pembiayaan ini juga terbuka untuk mereka yang tidak mempunyai slip gaji serta kelebihan lain di mana permohonan boleh dibuat secara dalam talian dan tempoh proses hanya 48 jam," katanya pada sidang media di majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama UDA di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Sr Mohd Salem Kailany; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin dan Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Hartanah Kumpulan UDA, Noor Azmi Salleh.

Sementara itu, Mohd Salem berkata, melalui MoU ini diharap dapat membantu lebih ramai golongan terutamanya usahawan untuk memiliki hartanah di tengah bandar dan di pinggir bandar.

"Untuk projek Residensi Akasia Jubilee iaitu projek kediaman mampu milik, kami sasarkan 250 unit akan terjual menjelang akhir tahun ini dan skim ini akan diperluaskan bagi projek hartanah UDA yang lain terutama di Selangor, Pulau Pinang dan Johor.

"Diharap MoU antara UDA dan Bank Muamalat dapat membuka peluang dan meningkatkan kadar pemilikan hartanah setiap segmen di Malaysia," katanya.

Antara projek perumahan dan komersial UDA yang sedang dibangunkan termasuk Residensi Legasi Kampung Bharu, Residensi Akasia Jubilee dan Residensi 38 Bangsar Kuala Lumpur, unit Komersial Elevate dan Kondominium Evoke di Seberang Perai dan banglo Crescent Dew di Bertam Kepala Batas, Pulau Pinang.

Projek lain termasuk Pisonia Ville dan Rossa Terrace Bandar UDA Utama Johor Bahru, Pusat Perniagaan Coast di Kemaman dan banglo Sarai Kuala Terengganu Golf Resort di Terengganu, rumah berkembar di Pelindung Heights di Kuantan, Pahang serta projek wakaf di Taman Sultan Sallehuddin Alor Setar, Kedah iaitu Unit Komersial TC Avenue, rumah kos rendah satu tingkat dan rumah teres dua tingkat.

Bank Muamalat dan UDA juga akan bersama-sama menganjurkan persidangan, seminar, jerayawara, ceramah dan aktiviti pemasaran di seluruh Malaysia dalam usaha memasarkan dan berkongsi maklumat berhubung pakej pembiayaan dan hartanah yang ditawarkan melalui MoU ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 8:03 AM