Oleh Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Jaringan tunggal penyerang S Kumaahran memastikan skuad bawah 22 tahun negara (B-22) melangkah ke final Piala Emas Bangabandhu 2015 dengan menyingkirkan skuad B-22 Singapura 1-0 pada separuh akhir semalam.

Pada aksi menarik di Stadium Sylhet Bangladesh itu, anak buah Razip Ismail (gambar) mencipta banyak peluang menjaringkan gol, namun disia-siakan hingga terpaksa mengharapkan gerakan solo Kumaahran pada minit ke-41 bagi membenam pasukan lawan.

Kemenangan itu terus melebarkan rekod bersih pasukan muda negara yang sebelum ini muncul juara Kumpulan A selepas menewaskan tuan rumah Bangladesh 1-0 dan Sri Lanka 2-0 pada pusingan awal.

Kejayaan ini juga menghadirkan peluang Razip merangkul gelaran antarabangsa pertama bersama Harimau Muda A, namun ia bukan tugas mudah kerana mereka mungkin bakal berdepan pasukan pilihan Thailand di final, Ahad ini.

Thailand dijangka tidak berdepan masalah menempah slot ke final itu apabila bertemu Bangladesh bagi aksi separuh akhir kedua hari ini.

Kejohanan ini dijadikan medan persiapan buat skuad B-22 negara sebelum Kejohanan Kelayakan B-23 AFC di Stadium Shah Alam, bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Februari 2015 @ 10:11 AM