Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Walaupun berjaya menjulang Piala Emas Bangabandhu malam kelmarin, pengendali Bawah 22 (B-22) Malaysia, Mohd Razip Ismail perlu memastikan indeks prestasi utama (KPI) yang diletakkan kepadanya bulan depan direalisasikan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, anak buah Razip disasarkan mara ke pusingan akhir Piala AFC 2016 yang akan berlangsung di Qatar.

“Saya kira setiap jurulatih mempunyai keistimewaan dan kelebihan tersendiri, tidak terkecuali Razip.

“Beliau membawa kejuaraan pertama malam semalam (kelmarin) dan membuktikan kemampuannya, namun KPI untuk mereka tetap untuk layak ke Piala AFC B-23 secara merit,” kata Hamidin.

Skuad B-22 negara gandingan pemain Harimau Muda A, B dan C muncul juara Piala Emas Bangabandhu selepas menewaskan tuan rumah, Bangladesh 3-2 malam kelmarin.

Jelas Hamidin, kejayaan berkenaan akan memberi impak kepada tiga kejohanan utama yang bakal disertai pemain muda negara itu.

“Mereka pasti mendapat pendedahan, pengalaman dan tahap keyakinan tinggi untuk menghadapi kelayakan Piala B-23 AFC, Liga Singapura dan Sukan SEA.

“Malah secara tidak langsung, ini menunjukkan kita tidak ketandusan dalam melahirkan pemain muda berbakat dan mampu bersaing di pentas antarabangsa,” katanya.

Skuad B-22 negara akan beraksi dalam aksi Kumpulan I kelayakan Piala B-23 AFC di Stadium Shah Alam menentang Jepun, Vietnam dan Macau penghujung bulan depan.

“FAM serius dan akan memberikan ruang secukupnya kepada pasukan ini termasuk kemungkinan mengadakan latihan ke luar negara pada awal Mac. Perkara ini akan dibincangkan dalam masa terdekat,” katanya.

Skuad B-22 dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini dengan tiga aksi persahabatan sudah diatur iaitu menentang B-22 Indonesia (17 Februari), B-20 Fiji (23 Februari) dan B-23 Pakistan (26 Februari).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 6:52 AM