Kuala Lumpur: Siri aksi persahabatan antarabangsa membabitkan pasukan Harimau Muda B (Bawah-22) jelas menunjukkan masih banyak lompong kosong yang harus diperbaiki sebelum pusingan kelayakan Piala AFC bermula 27 Mac ini.

Selepas mempamerkan aksi mantap pada kejohanan Piala Emas Bangabandhu di Bangladesh dengan menundukkan pasukan senior tuan rumah 3-2 bulan lalu, persiapan skuad muda negara terganggu apabila tewas dua daripada tiga aksi persahabatan.

Bermula dengan kegagalan tunduk 0-1 di tangan skuad B-22 Indonesia diikuti kalah 0-1 dengan pasukan B-20 Fiji sebelum ceria menang tipis 2-1 ke atas skuad B-23 Pakistan, menceritakan betapa skuad bimbingan Razip Ismail belum bersedia menghadapi cabaran Piala AFC.

Kelemahan utama yang mungkin menggangu Razip Ismail adalah barisan penyerangnya yang sering melepaskan peluang terhidang biarpun menguasai penuh aksi perlawanan.

Di samping itu, permainan secara fizikal juga perlu diterapkan dalam skuad muda negara seperti dipamerkan pasukan B-22 Fiji yang sukar ditandingi pemain negara tiap kali berada dalam situasi perebutan bola tinggi.

Justeru itu, pembabitan skuad B-22 negara di Liga Singapura (Liga-S) bermula minggu ini harus dijadikan medan terbaik buat Razip untuk mengesan segala kelemahan sebelum turun menghadapi pusingan kelayakan Piala AFC.

Pada kelayakan Piala AFC itu, Malaysia diundi bersama Macau, Vietnam dan gergasi Asia Jepun dalam kumpulan I dan dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan layak beraksi pada pusingan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2015 @ 8:03 AM