Oleh Esme Johari Wahab


Kuala Lumpur: Latihan intensif dua bulan dilalui atlet terjun wanita 10m seirama, Leong Mun Yee membuatnya yakin menghadiahkan pingat buat negara pada Siri Kejohanan Terjun Dunia FINA/NVC 2015 tidak lama lagi.

Sekalipun ada empat kuasa utama seperti Kanada, Great Britain, Mexico dan China, Mun Yee tetap yakin kemampuan skuad negara.

Mun Yee berkata, dia berlatih tanpa banyak gangguan bersama rakan-rakan senegara di Dongguan, Guangdong, China hingga pertengahan bulan depan.

Sejak tiba di negara Tembok Besar itu minggu lalu, skuad terjun wanita negara tidak mengambil masa lama menyesuaikan diri dengan latihan enam hari seminggu.

“Nampak saja kolam renang hati sudah seronok. Malah sesi harian bersama 14 rakan sepasukan di sini ibarat keluarga rapat. Kami makan, berbincang dan menetap di blok sama.

“Jurulatih Yang Zhu Liang pula jenis seorang mementingkan disiplin. Biarpun sesi latihan memenatkan, tapi berbaloi,” katanya semalam.

Saingan musim ini bermula di Beijing pada 13-15 Mac diikuti pusingan kedua di Dubai (19-21 Mac).

Mun Yee, 30 akan beraksi bersama dua peserta terjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong.

“Peluang di Beijing dan Dubai? Sudah tentu ada kerana kami bersaing untuk meraih pingat seperti peserta kontinjen lain.

“Penyertaan kejohanan ini penting kerana mereka yang berada dalam kategori enam teratas layak menyertai Siri Terjun Dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 7:11 AM