Oleh Esme Johari Wahab

Kuala Lumpur: Meskipun belum diberitahu acara disertai, atlet terjun wanita Leong Mun Yee sudah memasang impian memburu pingat emas peribadi ke-15 pada Sukan SEA Singapura 2015.

Atlet senior berusia 30 tahun itu akan beraksi pada sukan terbesar Asia Tenggara itu buat kali kelapan dalam kariernya.

“Hari ini (semalam), saya menerima khabar gembira apabila mendapat penghormatan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) membawa bendera Jalur Gemilang kontinjen negara di Sukan SEA Singapura bersama atlet memanah recurve, Khairul Anuar Mohamad.

“Pelantikan itu memberi suntikan semangat kepada saya untuk menghadapi kejohanan kompetitif pertama tahun ini di kejohanan Siri Terjun Dunia FINA 2015 di Beijing Water Cube (BWC), Jumaat ini.

“Sebagai atlet lama, sudah tentu saya berasa dihargai dan berharap dapat beraksi sebaik mungkin untuk mengharumkan nama Malaysia pada Siri Terjun Dunia 2015 serta Sukan SEA di Singapura pada Jun,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Mun Yee sudah menyertai tujuh Sukan SEA, bermula di Kuala Lumpur 2001 hingga ke Naypyidaw, Myanmar dua tahun lalu.

Atlet berasal dari Perak itu meraih 14 pingat emas Sukan SEA menerusi acara 1m papan anjal, 3m papan anjal, 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama.

Enam temasya Sukan SEA yang disertainya membabitkan Filipina 2003, Hanoi 2005, Nakhon Ratchsima 2007, Vientiane 2009 dan Palembang 2011.

Mun Yee yang menyertai 10m platform seirama menganggap Beijing sentiasa meninggalkan kenangan manis dalam usaha memperbaiki pencapaian empat tahun lalu.

“Saya meraih pingat perak Siri Terjun Dunia 2011 di Beijing. Cabaran terkuat pasti diberikan penerjun tuan rumah, China selain Kanada, Britain dan Mexico.

“Saya tidak sabar untuk beraksi di venue Beijing Water Cube dan berharap latihan dua bulan di China sebelum ini mampu mencapai hasrat meraih emas buat negara,” katanya.

Selepas ini, Mun Yee akan menyertai Siri Terjun Dunia FINA Dubai pada 19-21 Mac.

Turut beraksi pada kejohanan itu dua lagi penerjun negara, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2015 @ 7:31 AM