Oleh Adnan Ibrahim

Kluang: Polis daerah ini menafikan dakwaan bahawa 17 tahanan reman melarikan diri dari Penjara Kluang seperti yang disebarkan melalui Whatsapp.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaary berkata, tidak ada kejadian seumpama itu dilaporkan berlaku.

Katanya, cerita palsu itu sengaja dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dan siasatan akan dijalankan bagi menjejaki individu terbabit.

"Polis Kluang tidak menerima sebarang laporan daripada pihak Penjara Kluang berhubung kejadian tahanan melarikan diri,"katanya.

Dakwaan 17 tahanan reman melarikan diri dikatakan mula tersebar melalui Whatsapp sejak beberapa hari lalu.

Mereka dikatakan melakukan pecah rumah ke atas rumah penduduk dan menimbulkan ketakutan penduduk di Bandar Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Februari 2015 @ 7:08 PM