Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Banduan warga asing yang dilaporkan melarikan diri ketika membuat kerja pembersihan di luar tembok Penjara Kluang, pagi semalam, berjaya ditahan semula tengah malam tadi.

Dia ditemui oleh pihak Penjara Kluang pada 12.30 tengah malam di ladang kelapa sawit di Felda Kahang Barat, Kluang dekat sini, yang terletak kira-kira 10 kilometer dari lokasi pembolosan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Roze Shaary berkata, banduan terbabit ditemui berseorangan di ladang itu ketika masih dalam cubaan melarikan diri oleh pihak penjara yang menjalankan Ops Kesan.

Beliau berkata, kertas siasatan kini dibuka mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan kerana kecuaian penjawat awam ketika menjalankan tugas dan juga kerana melarikn diri dari tahanan. Siasatan lanjut masih dijalankan.

Mohd Roze turut memberitahu Ops Tutup yang dijalankan di sekitar jalan utama daerah itu ditamatkan, pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 1:01 PM