AFP

London: Arsene Wenger yakin usahanya mendapatkan pemain pertahanan Brazil, Gabriel Paulista bakal menjadi titik peralihan dalam perebutan Arsenal untuk layak ke Liga Juara-Juara.

Wenger mengeluarkan belanja £11.5 juta (RM59 juta) untuk mendapatkan Paulista daripada Villarreal minggu ini membolehkan pemain berusia 24 tahun itu membuat penampilan sulung menentang Aston Villa di Stadium Emirates malam ini.

Paulista hadir ketika Arsenal bergelut menempah tempat ke Liga Juara Juara musim depan menerusi kedudukan empat teratas dalam Liga Perdana Inggeris.

Gunners kini menduduki tangga kelima ketinggalan satu mata di belakang pasukan tangga keempat, Manchester United yang juga bersaing sengit bersama Southampton dan Tottenham untuk melengkapkan empat pasukan EPL dalam kejuaraan elit Eropah itu.

Bagaimanapun, selepas beberapa siri kecederaan yang menjejaskan Arsenal yang sudah pun rapuh di bahagian benteng menyebabkan Wenger yakin Paulista mampu memantapkannya biarpun dia masih belum bertutur sebarang bahasa Inggeris buat masa ini.

“Dia pakar bahagian pertahanan tengah dan dengan jadual perlawanan sedia ada menanti, ia sememangnya sesuatu yang kami perlukan,” kata Wenger.

“Apa saya lihat adalah kualiti hebat bagi seorang pemain pertahanan iaitu tahap tumpuan wujud dalam dirinya.

“Dia memiliki kemampuan fizikal menyesuaikan diri dalam Liga Perdana kerana mempunyai saiz mantap dan memiliki kepantasan termasuk komitmen padu dalam pasukan.

“Anda sentiasa memerlukan masa menyesuaikan diri terutama di posisi pertahanan kerana anda perlu mengenali rakan sepasukan.

“Ketika ini, dia masih belum bercakap sepatah pun bahasa Inggeris dan kemungkinan untuk melepaskan gol memang ada jika berlaku masalah komunikasi.

“Kami cuba mengajar perkataan penting sebagai seperti ‘perangkap ofsaid’ atau ‘cuba pandang ke penjaga garisan’!

“Bagaimanapun, kami memerlukan kerjasama padu membentuk benteng pertahanan kukuh.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 5:06 AM