AFP

London: Arsenal meneruskan usaha mempertahankan kejuaraan Piala FA Inggeris dengan pertembungan pada pusingan kelima menentang kelab liga bawahan namun pengurus Arsene Wenger berjanji Gunners tidak akan memandang remeh cabaran Middlesbrough, malam ini.

Boro ketika ini mendahului carta Liga Kejuaraan dan menghasilkan satu daripada kejutan pada pusingan terdahulu apabila menang 2-0 ke atas juara Liga Perdana, Manchester City di Etihad.

Arsenal menang 3-2 di Brighton & Hove Albion, satu lagi pasukan Liga Kejuaraan, dan Wenger mengakui tiada alasan kenapa Gunners tidak boleh melangkah ke suku akhir.

“Mereka tidak takut berdepan pasukan besar,” kata pengendali Perancis itu mengenai pasukan kendalian Aitor Karanka.

“Mereka bermain secara tersusun, mempamerkan aksi bola sepak yang bagus dan amat kreatif. Kami tidak terkejut dengan mereka. Kami tidak mempunyai alasan untuk terkejut kerana mereka menyingkirkan Manchester City.

“Ia satu peluang besar buat kami, itulah yang perlu kami lihat.”

Wenger mengesahkan penjaga gol Wojciech Szczesny akan dipanggil semula dan membayangkan penampilan sulung buat pemain baru Gabriel Paulista, pertahanan tengah yang menyertai pasukan dari Villarreal bulan lalu.

Karanka, yang bekerja sebagai pembantu Jose Mourinho di Real Madrid, mengambil masa 15 bulan mengubah kelab yang diancam tersingkir ke divisyen tiga menjadi salah sebuah kelab yang mampu kompetitif.

“Saya terpaksa mengubah mentaliti mereka. Apabila saya hadir di sini, pemain lebih bimbangkan mengenai persembahan sendiri, sikap mereka sendiri dan sukar untuk menerangkan ini semua mengenai kerjasama sepasukan,” kata pengendali berusia 41 tahun itu.

“Mulanya kami berdepan masalah tapi bila kami meraih keputusan diharapkan, orang mula berasakan kami boleh memenangi perlawanan secara tetap. Saya banyak belajar dari Jose di Madrid dan kami berkongsi banyak kaedah.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:15 AM