AZMIN Ali.
AZMIN Ali.
Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Rombakan besar-besaran bakal berlaku dalam barisan kepimpinan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) selepas Exco FAS sebulat suara menerima peletakan jawatan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (gambar) pada 26 Januari lalu.

Keputusan itu menyaksikan FAS bersedia untuk mengadakan pemilihan bagi barisan Exco baru pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 23 Februari ini.

Menurut sumber rapat FAS, biarpun belum menerima surat rasmi peletakan jawatan Azmin, Exco FAS tetap bersetuju dengan hasrat Presiden FAS itu yang disuarakan menerusi kenyataan media pada 30 Disember lalu.

“Exco FAS bersetuju menerima peletakan jawatan Azmin pada mesyuarat 26 Januari lalu. Mereka merasakan itu jalan terbaik untuk bergerak ke depan daripada terus menunggu perbincangan dengan Azmin yang sehingga kini enggan bertemu mereka.

“Surat untuk memanggil EGM sudah dihantar hari ini (semalam). Pemilihan bagi barisan Exco baru akan diadakan pada 23 Februari nanti,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Keputusan itu dianggap tindakan berani Exco FAS kerana sebelum ini masih mengharapkan sokongan Azmin yang juga Menteri Besar Selangor bagi bantuan kewangan daripada kerajaan negeri.

Azmin yang memegang jawatan presiden sejak Disember 2014 membuat keputusan meletakkan jawatan dengan mendakwa Exco FAS sedia ada masih mengekalkan sikap dan budaya lama iaitu ‘politik berlebih-lebihan, melakukan kerja dengan cara lama dan amat bergantung kepada mentaliti subsidi.’

Biarpun berdepan masalah kewangan tanpa bantuan kerajaan negeri, FAS masih mampu membentuk pasukan bagi bersaing dalam Liga Malaysia musim ini.

“Keputusan Exco FAS menerima peletakan jawatan Azmin menggambarkan mereka bersedia untuk berdikari dan terbuka dalam pemilihan kepimpinan baru,” jelas sumber itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Februari 2017 @ 10:29 AM