Entahlah, hendak dikategorikan apa orang ini. Apakah busuk hati atau apa tapi bila dengar kisah dari teman mengatakan dia kena 'sailang' dengan selebriti ini, terus darah Cik Pang naik!

Ceritanya, teman Cik Pang memiliki kafe yang popular dan menjadi buah mulut kalangan peminat makanan tempatan. Malah, artis pun sering lepak di sana.

Satu hari, ada kafe baru dibuka di belakang kafe teman Cik Pang ini. Kafe ini milik selebriti popular dan isterinya yang juga abang ipar penyanyi kacak bertaraf anak VIP.

Pada mulanya, teman Cik Pang tak kisah sangat ada persaingan perniagaan, tapi yang menjadi isu ialah tanpa segan silu pasangan popular itu dikatakan potong jalan dengan mengambil pembekal sama yang membekalkan satu menu kafe.

Lebih tebal muka, mereka juga dengan berani menghantar pengurus kafe menawarkan kerja kepada pekerja kafe teman Cik Pang.

Kata teman Cik Pang, dulu dia dan isteri selebriti itu memang berkawan baik ketika sama-sama belajar satu universiti di luar negara.

Namun sejak beberapa isu berlaku antara mereka, hubungan mereka tidak serapat dulu. Satu isu yang teman Cik Pang sempat korek ialah sebelum berkahwin dengan selebriti popular itu, dia pernah cuba memburukkan nama teman Cik Pang sehingga putus tunang.

Teman Cik Pang ada juga menghubungi selebriti itu untuk meminta penjelasan, mengapa pengurusnya menawarkan kerja kepada pekerjanya.

Jawapannya hampa, sebaliknya dia menafikan pernah mengarahkan pengurusnya berbuat begitu.

Sehingga kini, teman Cik Pang sangat sedih dan kecewa kerana tidak percaya teman sekolejnya sanggup menikamnya dari belakang.

Nasihat Cik Pang, kalau betul perkara ini terjadi, siasat betul-betul. Takut ada gunting dalam lipatan, api dalam sekam.

Namun bila difikirkan balik, sifat dengki memang wujud dalam diri manusia, tak kira manusia itu selebriti popular atau tidak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:01 AM