Diam tak diam, Cik Pang dapat berita pelakon montel yang popular dengan watak Mat Saja, siapa lagi kalau bukan Zalif Sidek, sudah hantar rombongan merisik bakal isteri.

Kata teman Cik Pang, bakal isteri Zalif didakwa anak tauke pasir dari Terengganu. Kiranya sekampunglah mereka ya.

Risik teman Cik Pang, Zalif dan wanita comel bernama Nadhirah Nawi itu mula mengenali antara satu sama lain ketika menghadiri beberapa acara di Terengganu.

Dari situ, timbul bibit-bibit cinta dan selepas beberapa perkenalan, difahamkan Zalif terus melamarnya.

Itu pun Zalif dengan penuh ‘gentleman’ bertemu keluarga si gadis untuk menjadikan Nadhirah sebagai isteri.

Cik Pang puji sikap Zalif. Macam itulah kalau betul-betul nak berkahwin, bukan macam sesetengah lelaki yang mulut saja manis tapi bila bab berkahwin, ada saja alasan. Bawa anak dara orang ke hulu ke hilir tanpa ikatan sah tidak ada pula payah kan.

Kalau tak silap Cik Pang, Zalif dulu pernah suarakan hasrat mahu berkahwin sebelum usia 30 tahun, namun semua hubungan yang dikatakan pernah cuba dijalin terputus di tengah jalan.

Baik dengan selebriti atau orang biasa, usaha Zalif mencari calon isteri sah untuk dibimbang ke syurga tidak pernah pudar.

Cik Pang doakan semoga Zalif sentiasa bahagia dengan siapa saja pilihan hati. Jangan lupa jemput teman media pula nanti ya!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:02 AM