Oleh Amirul Haswendy Ashari

Sejak berhijab April lalu, pelakon berasal dari Brunei, Nina Iskandar akui sudah lama tidak berlakon. Kali terakhir untuk filem Pengantin Malam arahan Eyra Rahman.

Ternyata dugaan baginya apabila rezeki berlakon kurang, tetapi ia tidak membuatkan dirinya kecewa dengan pilihan. Baginya, menunaikan tuntutan wajib dalam Islam untuk menutup aurat bukan boleh dipandang ringan.

Katanya, memang rasa rindu untuk kembali berlakon filem, tapi buat masa ini tidak ada watak yang sesuai dengan penampilannya.

"Saya reda kerana ini ujian yang harus saya tempuh apabila berhijrah. Apa sekalipun, saya tidak boleh berputus asa," katanya tenang.

Apabila jarang berlakon, Nina melangkah pula ke dunia nyanyian dan bakal tampil dengan dua single untuk lagu runut filem dan drama.

Dua single itu belum melalui proses rakaman tapi akan dimuatkan dalam drama bersiri Selipar Jepun Stileto Merah arahan Hashim Rejab dan filem Adik Abang arahan Azaromi Ghozali.

Katanya, tawaran menyanyi datang selepas dia sering menyanyi secara santai di depan rakan hingga suatu hari ditegur Penerbit Eksekutif Mangkin Prestij, Jane Lim.

"Madam Jane tegur dan kata saya ada bakat dalam nyanyian lalu menawarkan saya menyanyikan lagu runut. Kebetulan pada zaman sekolah, saya pernah terbabit dalam koir.

"Dari situ, saya percaya ia peluang lain yang harus saya cuba. Saya nak 'test market' dan lihat bagaimana penerimaan ramai kelak," katanya yang memiliki suara jenis soprano.

Nina tidak kisah terjun ke bidang nyanyian kerana percaya rezeki pasti ada andai dia bersabar dan tidak terburu-buru.

Baginya, nyanyian tidak perlukan pelaburan masa panjang berbanding lakonan. Rumus Nina, ia membuatkan dia lebih lapang.

"Lakonan menuntut seorang pelakon berada di lokasi tanpa mengira masa dan cuaca. Berbanding nya-nyian, saya hanya perlu fokus pada tempoh singkat," katanya.

Selain menyanyi, Nina berjinak-jinak dalam penulisan skrip. Walaupun belum ada karya diterjemahkan ke drama atau filem, Nina tidak kisah kerana beranggapan masih dalam proses belajar.

"Saya suka membaca novel dan buku. Apabila ada idea menarik, saya akan terjemahkan dalam bentuk dialog dan saya banyak belajar dengan panel skrip produksi.

"Buat masa ini, saya masih mengumpul idea sebelum dapat merealisasikan skrip saya yang pertama," kata Nina gembira.

Mengenai kisah peribadi, pelakon filem Muka Surat Tujuh dan Sniper itu baru bergelar tunangan orang, awal Ogos lalu.

Tanpa berselindung, Nina akui selama tempoh bertunang, dia banyak merendahkan diri dari berkongsi kisah pertunangan.

Katanya, dia banyak belajar dengan keluarga dan rakan untuk tidak terlalu menonjolkan diri di khalayak.

"Kami kalau boleh tidak mahu terlalu menunjuk sangat hubungan itu. Banyak nasihat yang kami ambil supaya hubungan kami lebih diberkati.

"Hubungan kami akan lebih selamat apabila mengambil sikap sederhana. Ia juga satu cara untuk menjadi lebih matang," katanya.

Tunangnya, Ahmad Heikel pula mulai sibuk selepas dinaikkan pangkat, lantas membataskan waktu untuk sering bertemu seperti dulu.

Nina juga percaya proses bertunang selalunya akan timbul pelbagai dugaan, lantas untuk mengurangkan tekanan dan dugaan itu, adalah lebih baik mereka mengikut saja nasihat berguna daripada mereka yang berpengalaman.

"Kami belum tentukan bila akan berkahwin. Perancangan itu biar keluarga yang tentukan. Lagipun, proses bertunang juga tempoh untuk kita mengenali sikap dan sifat masing-masing.

"Perselisihan faham itu perkara biasa dalam hubungan. Oleh itu, masing-masing perlu bersikap matang untuk mencari jalan penyelesaian," katanya.

Selepas kali terakhir berlakon drama bersiri Jika Itu Takdirku melalui slot Akasia TV3, Nina akan kembali beraksi dalam drama bersiri Noktah Kasih untuk slot Azalea. Drama bersiri itu turut menampilkan Iqram Dinzly dan Azwan Kombos.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 5:01 AM