ZAMANI mahu fokus untuk berubat sebelum kembali menyanyi.
ZAMANI mahu fokus untuk berubat sebelum kembali menyanyi.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Dia masih wujud dalam industri hiburan dan gigih memenuhi undangan nyanyian di sana sini. Biarpun tidak mewah, cukuplah pendapatan yang diperoleh bagi meneruskan kelangsungan hidupnya.

Sedar zaman kegemilangannya sudah berlalu, dia tidak lagi mengharapkan populariti dan tumpuan media. Cukuplah jika masih ada golongan masyarakat yang meminati lagu nyanyiannya sebelum ini.

Bagaimanapun berita penahanan Zamani Ibrahim, 43, atau Zamani Slam akibat kesalahan memiliki dadah di kediamannya di Taman Keramat, Ampang tengah malam Rabu membuktikan dirinya masih disayangi peminat apabila ramai yang memberikan sokongan terhadapnya.

Bertambah memilukan, klip video dirinya yang menyanyikan lagu Gerimis Mengundang dalam keadaan tangan bergari turut menjadi viral di kalangan pengguna Internet dan mencetuskan kontroversi.

Lantas perkara itu mengundang kontroversi sehinggakan peminat turut mewujudkan bantahan secara beramai-ramai di laman sosial Facebook dengan menaip #BantahTindakanPolisKpdZamani.

Ditemui di kediaman peguamnya sebaik dibebaskan dengan jaminan polis dari Balai Polis Hulu Kelang, Sabtu lalu, penyanyi yang mesra dengan panggilan Adek dalam kalangan rakan itu menyatakan terharu dengan sokongan yang diberikan.

"Selama ini, saya banyak diam dan hanya tumpukan pada nyanyian. Mungkin saya tak tahu peminat masih sokong saya. Sebenarnya saya tak mahu mengambil kesempatan apabila berlakunya kes ini, malah saya akui malu dengan apa yang berlaku.

"Bagaimanapun tak sangka peminat masih sayangkan saya. Bahkan saya dapat lihat mereka betul-betul sayangkan saya. Tak tahulah saya nak buat apa untuk membalasnya, tetapi saya perlu buktikan apa yang mereka tunjukkan tak sia-sia.

"Saya sangat tersentuh dan membuatkan semangat saya lagi kuat untuk berubah. Biar peluang kepada saya untuk melakukan sesuatu bagi membuktikan kesungguhan saya," katanya yang turut mengalirkan air mata ketika ditemu bual media.

Zamani turut mengakui malu untuk berdepan dengan peminat terutama apabila diundang menyanyi, tetapi dia sedar dirinya melakukan kesalahan di mata semua pihak.

"Saya berjanji tidak akan menghampakan mereka. Saya minta keluarga dan peminat sama-sama berdoa. Saya tak nak sekadar berjanji di mulut. Fokus saya sekarang hanya nak berubat dan berubah. Doakan saya berjaya," katanya yang pernah menjalani rawatan pemulihan pada 2011 dan 2012.

Zamani berkata, sepatutnya selepas dibebaskan dia bercadang mahu berehat dan berjumpa pihak media pada Selasa selepas sebutan kesnya. Bagaimanapun, dia mengubah fikiran kerana menghormati pihak media yang banyak membantu kariernya sebelum ini.

Anggap peminat

Mengulas kontroversi klip videonya, Zamani enggan mengambil tindakan dan memanjangkan perkara itu serta menganggapnya sudah selesai.

"Kalau boleh saya tak nak panjangkan lagi. Kejadian itu berlaku sewaktu saya baru ditahan untuk ujian air kencing. Niat merakam untuk tujuan peribadi dan bukan secara paksaan terhadap saya.

"Dia kata dia penggemar lagu saya dan peminat saya. Silapnya, selepas merakam dia tak tunjukkan video itu kepada saya dan saya juga silap kerana tak tengok semula.

"Kalau tidak, mungkin video itu boleh dipadam dan dibuat semula dengan membuang bahagian tangan bergari. Jadi, apabila ia keluar di Internet memanglah nampak aib.

"Saya sendiri pun mengaku aib bila tengok video ini. Apa boleh buat di zaman siber ini semua perkara boleh 'terlepas'. Kepada peminat saya pula, jika betul anda minat saya, hentikanlah berkongsi klip video itu di laman sosial mereka.

"Saya tak akan membuat tindakan susulan dalam kes ini kerana anggap ia berlaku antara peminat dan artis. Kalau ikutkan perasaan memanglah marah, tetapi hanya saya yang tahu situasi sebenar." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 5:03 AM